• Sarang Kelulut Pun Kena 'Rembat'

    Published: Friday, 27 October 2017
    A- A+

    Nilai tinggi madu kelulut menyebabkan sarang serangga itu menjadi sasaran pencuri dan tidak terkecuali yang dijadikan rujukan penuntut jurusan Agroteknologi Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Nerus, hari ini.

    Kehilangan sarang di Tapak Koloni Kelulut UMT berkenaan disedari kira-kira 9 pagi menyebabkan 30 penuntut universiti berkenaan untuk membuat kajian koloni dan fungsi lebah kelulut terbabit sebagai agen pendebungaan gagal berbuat demikian.

    Pensyarah Pusat Pengajian Sains dan Teknologi Makanan UMT, Prof Madya Dr Shamsul Bahri Razak berkata, dia terkejut apabila menyedari sarang kelulut yang biasanya digunakan sebagai rujukan untuk sesi pembelajaran penuntutnya sejak 2013 itu hilang.

    Menurutnya, terdapat kesan gergaji pada pokok yang menempatkan sarang berkenaan.

    "Berdasarkan harga pasaran ketika ini, setiap sarang kelulut itu ialah RM600 tidak termasuk yang terdapat dengan serangga terbabit dan tidak hairanlah ia menjadi buruan individu tertentu yang ingin mendapatkan wang dengan cara yang mudah," katanya ketika dihubungi.

    Shamsul berkata, walaupun hanya satu sarang yang hilang tetapi ia sudah lapan kali berlaku sebelum ini.

    Menurutnya, sudah lama kehilangan sarang kelulut ini tidak berlaku apabila kawalan keselamatan diperketatkan oleh pihak universiti tetapi ia berulang kembali.

    "Kami memang terkilan kerana pihak yang tidak bertanggungjawab ini tergamak mencuri bahan pembelajaran di UMT demi kepentingan mereka.

    "Sarang itu yang menempatkan koloni kelulut amat penting kerana menjadi model untuk sesi pembelajaran dan kehilangannya secara tidak langsung akan membantutkan sesi pembelajaran penuntut," katanya.

    Menurutnya, dia tidak menyalahkan mana-mana pihak berikutan kejadian itu tetapi berharap penternak kelulut juga perlu lebih berwaspada selain tidak membeli sarang kelulut daripada pihak yang tidak dikenali dan diragui.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Sarang Kelulut Pun Kena 'Rembat' "