• Sampel Agen Saraf VX Daripada Baju Jong Nam Dimusnahkan

    Published: Tuesday, 10 October 2017
    A- A+


    SHAH ALAM: Sampel yang diambil daripada jaket warga Korea Utara, Kim Jong Nam untuk dianalisis bagi kesan agen saraf VX telah dimusnahkan.

    Menurut Ketua Makmal Pusat Analisis Agen Kimia, Jabatan Kimia Malaysia Dr S. Raja, prosedur ini selari dengan piawaian antarabangsa.

    "Apabila sampel telah diuji, prosedur operasi standard menggariskan untuk sampel tersebut dibuang (discarded)," kata Dr Raja.

    Peguambela Siti Aisyah, Gooi Soon Seng yang mengendali sesi periksa balas pada sesi pagi hari ini kemudian menyoal Dr Raja tentang keperluan untuk memastikan sampel yang diuji boleh diperiksa semula jika diperlukan mahkamah.

    "Bukankah ini perkara penting?" soal Gooi.

    Walaupun Dr Raja bersetuju dengan Gooi, namun beliau bertegas sampel daripada jaket Jong Nam dikendalikan selari dengan piawaian antarabangsa.

    Jaket Jong Nam merupakan antara bahan bukti yang dihantar ke Korea Utara dengan barangan lain seperti kasut, seluar jeans, gelang tangan, beg, dompet, rantai leher, cincin dan jam tangan milik mangsa.

    Apabila ditanya Gooi, mengapa barangan ini dilepaskan pihak Jabatan Kimia, Dr Raja menjawab beliau menerima arahan daripda pegawai penyiasat untuk berbuat demikian.

    Sesi periksa balas Dr Raja bersambung petang ini di Mahkamah Tinggi Shah Alam. - Awani

    Subjects:

  • No Comment to " Sampel Agen Saraf VX Daripada Baju Jong Nam Dimusnahkan "