• Salleh Mudahkan Usaha Sabah Majukan ICT Rakyat

    Published: Friday, 20 October 2017
    A- A+


    KOTA KINABALU – Keprihatinan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak terhadap pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi di Sabah memudahkan usaha kerajaan negeri memajukan bidang itu untuk kemudahan rakyat di negeri ini, kata Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman.

    Katanya beliau menghargai keprihatinan Salleh berjumpa dengannya untuk berbincang usaha yang boleh dilaksanakan antara kerajaan pusat dan negeri agar kemajuan Sabah setanding negeri lain.

    “Saya bersyukur dan berterima kasih kepada Datuk Seri Dr Salleh atas inisiatifnya, setelah dilantik sebagai anggota kabinet persekutuan, untuk bertanyakan kepada saya mengenai apa yang kerajaan pusat boleh buat untuk Sabah.

    “Begitu juga dengan menteri persekutuan lain dari Sabah yang dilantik oleh kerajaan pusat dengan restu kerajaan negeri, mereka sedar tanggungjawab mereka kepada Sabah selain menjawat jawatan mereka masing-masing (dalam kabinet persekutuan).

    “Kalau tiada perundingan, kalau menteri persekutuan dari Sabah tidak berjumpa dengan kerajaan negeri, tidak bercakap (dengan pemimpin kerajaan negeri), tentu sekali masalah akan timbul (dalam usaha pembangunan negeri) dan inilah yang kita harus jauhi,” katanya pada pelancaran kemudahan jalur lebar tanpa wayar di Kota Kinabalu, di sini hari ini.

    Musa turut menjelaskan rakyat di Sabah percaya dan mengharapkan janji kerajaan pusat kepada mereka dapat ditunaikan dengan lebih baik dengan adanya wakil dari Sabah dalam kabinet persekutuan.

    “Apabila rakyat di Sabah telah menyokong kita dan memberikan kepercayaan dan amanah kepada kita untuk menjadi wakil rakyat, sama ada sebagai anggota parlimen mahupun anggota dewan undangan negeri, mereka (rakyat) mahu kita berbakti dan kita harus menjalankan tugas-tugas yang mereka harapkan,” katanya.

    Musa berkata Malaysia diibaratkan satu keluarga yang besar dengan komunikasi memainkan peranan penting antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri demi kebaikan semua. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Salleh Mudahkan Usaha Sabah Majukan ICT Rakyat "