• RUU Profesion Kerja Sosial Bakal Dibentangkan Ke Kabinet - Ahmad Zahid

    Published: Sunday, 1 October 2017
    A- A+

    BANGI: Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Kerja Sosial untuk meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kebajikan profesional kepada rakyat akan dibentangkan ke Kabinet, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Beliau berkata RUU itu yang kini dalam semakan akhir, penting sebagai persediaan negara menghadapi status negara tua menjelang tahun 2030 apabila penduduk yang berumur 60 tahun dan ke atas mencecah 15 peratus daripada jumlah penduduk di Malaysia.

    "Saya akan memastikan rang undang-undang ini dibentangkan ke jemaah Kabinet dalam tempoh tidak lebih sebulan dari hari ini,"katanya, sambil menambah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim akan membentangkannya.

    Ketika merasmikan Bulan Kebajian Negara 2017 yang julung kali diadakan di Pusat Latihan, Perindustrian dan Pemulihan Bangi di sini, hari ini, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata RUU itu mengambil sedikit masa sebelum dibentangkan ke Kabinet berikutan aspek teknikal dari segi perundangan.

    "Sesuatu akta perlu mengambil kira semua aspek, termasuk tempoh kesahan yang lama dan semua jangkaan dan kemungkinan masalah yang akan berlaku dalam tempoh itu. Elok kita menyediakan payung sebelum hujan," katanya.

    Sementara itu, Ahmad Zahid berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan satu sesi dialog diadakan dalam tempoh terdekat untuk membincangkan dan mencari jalan penyelesaian menangani gejala sosial yang semakin membimbangkan.

    Beliau berkata sesi dialog melalui pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu melibatkan semua pihak termasuk kementerian, jabatan, agensi, badan bukan kerajaan, pakar psikologi dan parti politik untuk memberi pandangan konstruktif.

    Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan ditugaskan sebagai sekretariat sesi dialog tersebut untuk membincang secara terperinci dan komprehensif bagi mencari jalan penyelesaian, katanya.

    "Gejala sosial semakin serius (namun) saya tidak mempunyai angkanya. Tetapi perdana menteri dan saya amat bimbang tentang gelaja sosial yang berlaku di negara kita. Kalau boleh saya mahu sesi dialog diadakan dalam dalam tempoh 45 hari dari sekarang, selewat-lewatnya," katanya.

    Sambil memberi contoh, beliau berkata penyalahgunaan dadah dalam kalangan juvana seawal usia tujuh tahun, gangesterime dan kehamilan dalam kalangan remaja amat membimbangkan.

    Selain pendekatan psikologi dan saintifik, beliau berkata pendekatan agama harus diberi penekanan dalam menangani gejala sosial.

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " RUU Profesion Kerja Sosial Bakal Dibentangkan Ke Kabinet - Ahmad Zahid "