• Rumpai Laut Berpotensi Dikembangkan

    Published: Monday, 2 October 2017
    A- A+


    INDUSTRI rumpai laut mempunyai potensi tersendiri untuk dikembangkan dengan pasaran dan permintaan semasa semakin meningkat.

    Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Munir Mohd Nawi berkata, rumpai laut adalah produk makanan sihat dan industri penting yang memberi pulangan kepada pendapatan negara.

    “Banyak produk dihasilkan daripada rumpai laut untuk produk kecantikan. Begitu juga dalam bidang farmaseutikal seperti penghasilan kapsul halal berasaskan rumpai laut.

    “Banyak syarikat hari ini telah terlibat dalam industri ini dan paling penting adalah penglibatan usahawan-usahawan baharu dalam bidang ini,” katanya selepas Majlis Pelancaran Promosi Produk Rumpai Laut Syarikat Bio Haruantech Sdn Bhd, semalam.

    Beliau berkata, golongan belia digalakkan untuk turut serta dalam bidang berkenaan kerana mereka mampu menjana pendapatan sekitar RM10,000 hingga RM50,000 sebulan.

    “Jika kita lihat dari segi pendapatan, dari proses tanaman hingga hiliran, ia satu peluang baharu.

    “Seorang penanam dapat hasilkan RM2,000 hingga RM3,000 sebulan untuk satu hektar. Bagi yang terlibat di sektor hiliran yang menghasilkan serbuk rumpai laut, mampu jana pendapatan kira-kira RM10,000 sebulan, yang penting mereka dapat pasaran baik,” katanya.

    Menurutnya, Jabatan Perikanan melahirkan usahawan dan dalam masa sama menjalankan pembangunan bagi produk-produk baharu. - Sinar Harian

    Subjects:

  • No Comment to " Rumpai Laut Berpotensi Dikembangkan "