• Rooney selamatkan Everton

    Published: Monday, 16 October 2017
    A- A+

    LONDON: Wayne Rooney muncul penyelamat Ronald Koeman apabila penyerang Everton itu menyempurnakan penalti pada penghujung aksi untuk mengikat Brighton 1-1, dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.

    Bos Everton, Koeman hampir mencatatkan satu lagi kekalahan selepas Anthony Knockaert meletakkan Brighton di depan, lapan minit sebelum permainan berakhir di Stadium Amex.

    Begitupun, tindakan kapten Brighton, Bruno yang mengasari Dominic Calvert-Lewin pada masa kecederaan memberikan penalti buat Everton, dengan Rooney tampil dengan tindakan penyudah.

    "Kami berada dalam situasi yang sukar, tetapi kami memperoleh sesuatu daripadanya dan berjuang seperti kami lakukan hari ini," kata Koeman.

    "Sekurang-kurangnya kami memperoleh satu mata, mata yang kami layak dapat. Kami jelas pasukan yang lebih baik.

    "Keseluruhan kehidupan dalam bola sepak adalah mengenai tekanan dan jika saya tidak mendapat tekanan dari luar, saya meletakkan tekanan kepada diri saya sendiri."

    Ketika Koeman kelihatan lega untuk mengelak kekalahan kelima Everton dalam enam aksi terakhir, Toffees sekali lagi tampak sukar untuk menang di laman lawan yang kali terakhir diraih pada Januari lalu.

    Pengendali dari Belanda itu cuba menyelesaikan masalah ketumpulan penyudah Everton dengan menyenaraikan semula Rooney di jentera serangan, namun bekas kapten itu sukar menghidu peluang sebelum diselamatkan dengan penalti.

    Kekecewaan Koeman dapat dilihat dengan jelas apabila bola rembatan Jose Izquierdo melantun ke arah Knockaert yang kemudian merembat kencang menewaskan Jordan Pickford untuk meletakkan tuan rumah di depan, pada minit ke-82.

    Begitupun tindakan cuai Bruno yang menyiku leher Calvert-Lewin di kawasan penalti menghadiahkan Everton satu mata berharga. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Rooney selamatkan Everton "