• RM4.09 Juta Untuk Sekolah, Badan Agama Bukan Islam

    Published: Monday, 2 October 2017
    A- A+


    SANDAKAN – Kerajaan Negeri Sabah memperuntukkan sebanyak RM4.09 juta untuk Sekolah dan Badan Keagamaan Bukan Islam di Bahagian Pantai Timur bagi tahun ini.

    Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman berkata daripada jumlah itu sebanyak RM1.59 juta untuk sekolah dan RM2.5 juta untuk badan keagamaan bukan Islam.

    Katanya sekolah yang menerima peruntukan berkenaan termasuklah sekolah persendirian Cina, sekolah dan tadika mubaligh manakala badan keagamaan bukan Islam terdiri daripada Gereja, Kuil Cina, Hindu dan Sikh.

    “Dengan sumbangan ini diyakini sedikit sebanyak akan dapat memenuhi sebahagian daripada keperluan kewangan bagi menampung perbelanjaan operasi harian Institusi tersebut.

    Hakikatnya institusi pendidikan seperti sekolah penting bagi melahirkan rakyat berilmu pengetahuan manakala badan keagamaan memainkan peranan dalam memupuk nilai mulia dan positif dalam kalangan masyarakat,” katanya pada majlis penyampaian bantuan kewangan itu kepada 62 Sekolah dan Badan Keagamaan Bukan Islam Bagi Bahagian Pantai Timur di sini, hari ini.

    Musa yang juga Menteri Kewangan negeri berkata berdasarkan maklum balas yang diterima peruntukan sebelum ini telah digunakan dengan cekap bagi tujuan membaiki, menambah dan pembelian keperluan kedua-dua institusi berkenaan.

    Dengan pengurusan kewangan yang berhemat, kerajaan negeri berjaya meningkatkan peruntukan tahun ini berbanding peruntukan sebelumnya, katanya.

    Beliau berkata pemberian bantuan kewangan itu sejajar dengan komitmen kerajaan Barisan Nasional sentiasa memberi perhatian serius terhadap pembangunan pendidikan.

    Pada masa sama, katanya, peranan badan keagamaan tidak dilupakan yang memainkan peranan penting dalam memupuk nilai mulia dan positif dalam kalangan masyarakat. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " RM4.09 Juta Untuk Sekolah, Badan Agama Bukan Islam "