• Respon Kepada Bajet Alternatif Pakatan Harapan

    Published: Thursday, 26 October 2017
    A- A+

    1. SEKALI lagi pihak Pembangkang sibuk menabur retorik politik bagi melindungi kegagalan mereka untuk membentangkan satu agenda ekonomi yang meyakinkan.

    2. Bajet Alternatif ini hanya mengulangi janji-janji yang lama – pemansuhan GST dan tol, serta janji pendidikan tinggi percuma antara lain. Pihak Pembangkang sekali lagi gagal menyediakan satu rancangan yang jelas dan konsisten mengenai bagaimana janji-janji ini akan dibiayai dan dilaksanakan.

    3. Malah, pemansuhan GST akan meninggalkan satu ruang yang besar dari aspek pendapatan Kerajaan yang perlu untuk diisi. Mereka tidak berkongsi apakah langkah yang diambil untuk menggantikan pendapatan ini, sebaliknya mereka hanya bergantung kepada jangkaan bahawa pemotongan cukai akan menyebabkan pembelanjaan dan pungutan cukai bertambah. Jangkaan mudah sebegini sewajarnya kita persoalkan.

    4. Berbanding dengan apa yang ditawarkan oleh pihak Pembangkang, bajet yang akan dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri pada hari Jumaat nanti merupakan satu pelan ekonomi yang bertanggungjawab dan meyakinkan bagi melonjakkan Malaysia ke status negara berpendapatan tinggi.

    5. Pihak Pembangkang seringkali melemparkan tuduhan bahawa Malaysia akan bankrap di bawah pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional. Walhal mereka sebenarnya yang akan membankrapkan ekonomi negara menerusi pelan-pelan fiskal yang tidak bertanggungjawab ini.

    6. Agenda ekonomi hanya boleh dipercayai sekiranya kesemua rancangan-rancangan pembelanjaan yang diutarakan dapat ditampung dengan langkah-langkah yang akan menjana pendapatan Kerajaan. Saya menyeru agar rakyat Malaysia bersikap objektif dan tidak mudah terpedaya dengan janji-janji populis dan tidak mapan yang ditawarkan di bawah Bajet Alternatif.

    Dato’ Sri Mustapa Mohamed
    25 October 2017

    – MYNEWSHUB.CC

    Subjects:

  • No Comment to " Respon Kepada Bajet Alternatif Pakatan Harapan "