• Reman Setiausaha Politik Menteri Disambung 5 Hari

    Published: Tuesday, 3 October 2017
    A- A+
    Perintah reman terhadap setiausaha politik Menteri Sumber Manusia disambung lima hari lagi sehingga 7 Oktober ini bagi membantu siasatan penyelewengan dana RM40 juta Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

    Sebelum ini, lelaki bergelar ‘Datuk’ berusia 60 tahun itu ditahan reman enam hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bermula 28 September lalu, untuk disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

    Perintah sambung reman hari ini dikeluarkan oleh Majistret Siti Nabila Abd Rashid, di Mahkamah Majistret di Putrajaya.

    Jumaat lalu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot, memberi keterangan lebih 10 jam kepada SPRM berhubung kes sama bagi membantu siasatan.

    Sebelum ini, empat individu termasuk seorang Ketua Eksekutif PTPK bergelar ‘Datuk’, dua pegawai kanan PTPK dan seorang pengarah syarikat berumur 38 tahun, dibebaskan dengan jaminan SPRM pada 23 September lalu selepas ditahan bagi membantu siasatan.

    Mereka yang ditahan kerana dipercayai menyalahgunakan kedudukan serta menyeleweng wang peruntukan program latihan kemahiran bagi mereka yang tidak mempunyai pekerjaan.

    Siasatan awal SPRM mendapati pada 2016, seorang suspek disyaki menyeleweng RM15 juta selain RM25 juta pula pada tahun ini, sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan RM40 juta.

    Sumber SPRM berkata, kerajaan menyediakan RM40 juta tahun ini kepada perbadanan itu bagi mengendalikan program latihan manakala pada 2016, sejumlah RM35 juta diperuntukkan untuk tabung itu.- BNBBC News

    Subjects:

  • No Comment to " Reman Setiausaha Politik Menteri Disambung 5 Hari "