• Remaja Mengamuk Ketika Rawatan Di Pejabat AADK Kuching

    Published: Friday, 27 October 2017
    A- A+

    Remaja lelaki yang dibawa keluarga untuk mendapatkan rawatan pemulihan di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kuching bertindak agresif kerana mahu melarikan diri dari pejabat agensi berkenaan, pagi semalam.

    Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, remaja berusia 18 tahun itu sedang ditemubual oleh pegawai AADK sebaik tiba di pusat berkenaan di Jalan Tan Sri Ong Kee Hui di Kuching.

    Rakaman kejadian itu sempat dirakam orang awam yang berada di lokasi kejadian dan menjadi tular di laman sosial hari ini.

    Pengarah AADK Sarawak Wan Madihi Wan Salleh berkata, remaja terbabit yang masih bergari itu tiba-tiba mengamuk sebelum meluru keluar dari bilik temu bual.

    Menurutnya, remaja terbabit kemudiannya mencapai penyodok pasir sebelum mengacukan kepada tiga pegawai AADK yang cuba menahannya.

    "Remaja terbabit dapat membuka pintu pagar di tepi pusat berkenaan namun terperangkap kerana terdapat satu lagi lapisan pagar.

    "Pegawai AADK yang cuba menenangkannya diugut supaya tidak merapatinya sekiranya tidak mahu dicederakan menggunakan penyodok pasir," katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Beliau berkata, ketika ditenangkan, seorang pegawai kemudian berjaya memeluk remaja terbabit dari belakang sebelum dibantu dua lagi rakan sekerjanya.

    Wan Madihi berkata, ujian saringan air kencing mendapati remaja terbabit di bawah pengaruh methapetamin dan tindakan agresifnya itu dipengaruhi faktor bahan terlarang itu.

    "Remaja terbabit masih lagi ditahan untuk sementara waktu di AADK Kuching sebelum ditempatkan di Pusat Pemulihan Dadah bagi menjalani rawatan," katanya.

    Remaja terbabit mengacukan penyodok pasir ke arah pegawai AADK.-myMetro
  • No Comment to " Remaja Mengamuk Ketika Rawatan Di Pejabat AADK Kuching "