• Remaja Dituduh Bunuh Suami

    Published: Wednesday, 25 October 2017
    A- A+

    MUAR: Seorang remaja perempuan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas tuduhan membunuh suaminya di sebuah rumah di Taman Pertama Indah, Sungai Abong, di sini, pada 14 Oktober lalu.

    Tertuduh berusia 17 tahun itu didakwa membunuh Mohd Firdaus Md Sallehuddin, 28, kira-kira jam 1.30 tengah hari di sebuah rumah di Jalan Indah 6, taman berkenaan.

    Tertuduh yang sebelum ini bekerja sebagai pembantu gerai makanan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan sabit kesalahan, boleh dihukum mati mandatori.

    Terdahulu, tertuduh yang berpakaian lokap berwarna jingga dan tidak diwakili peguam hanya mengangguk tanda faham sebaik pertuduhan dibacakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shukri Hussain.

    Tiada sebarang pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Amalina Basirah Md Top.

    Mahkamah kemudian menetapkan 23 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Mahkamah juga mengarahkan tertuduh supaya menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai Johor Bahru mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Remaja Dituduh Bunuh Suami "