• RELA Cuba Disogok ‘Datuk Seri’ Digesa Lapor SPRM

    Published: Tuesday, 31 October 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang didakwa cuba disogok wang oleh lelaki bergelar ‘Datuk Seri’ yang mengasari mereka perlu melaporkan hal itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Timbalan perdana menteri berkata ini bagi membolehkan SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat dakwaan bahawa ketiga-tiga mereka ditawarkan RM10,000 setiap seorang bagi menutup kes berkenaan.

    “Saya dimaklumkan perkara ini oleh Ketua Pengarah Rela. Kementerian Dalam Negeri mendukung (penuh) supaya siasatan rapi dilakukan PDRM dan SPRM terhadap dua kes berbeza untuk memberi pengajaran bahawa dalam seseorang itu menerima anugerah tinggi dalam usia agak rendah (muda), penerima harus tahu status sosial mereka.

    “Jika hendak dihormati, mereka perlu menghormati orang lain sebelum memaksa orang lain hormati mereka,” kata Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, pada sidang akhbar selepas merasmikan Kongres Kerangka Standard Bahasa Melayu 2017 di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, Lembah Pantai di sini, hari ini.

    Dalam kejadian Jumaat lepas, tiga anggota RELA iaitu Melvin Cheong Mun Khai,19; Leong Jiun Jie, 21, dan Lee Weng Poh, 27, masing-masing cedera selepas mendakwa dipukul dan ditendang lelaki bergelar ‘Datuk Seri’ itu.

    Ahmad Zahid menegaskan mana-mana individu yang menerima anugerah tinggi tidak boleh menjadikan ia sebagai ‘lesen’ untuk mengasari mana-mana pihak.

    Dalam perkembangan lain, timbalan perdana menteri berkata kerajaan tidak bercadang melarang pendakwah warga Zimbabwe Ismail Menk dan penceramah negara Ustaz Haslin Baharim yang dikenali sebagai Ustaz Bollywood daripada terus berceramah di negara ini meskipun kedua-duanya dihalang memasuki Singapura oleh Kementerian Dalam Negeri Singapura (MHA).

    “Setakat ini kedua-dua tokoh itu tidak pernah menyarankan sesuatu yang melanggar pemahaman kepelbagaian budaya dan agama sehingga menimbulkan ketegangan sosial, kaum dan agama di Malaysia.

    “Malaysia setakat ini berpuas hati dengan apa yang mereka lakukan dan tidak berhasrat nengambil tindakan yang sama sebab mereka tidak bersalah di mata kita,” katanya.

    Menurut MHA, keputusan itu dibuat hasil rundingan dengan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Lembaga Pelancongan Singapura dan Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura.

    Menurut kementerian itu, Ismail Menk didakwa berceramah ajaran yang memisah dan memecah-belah manakala Haslin pula melahirkan pandangan yang menggalakkan ketidakharmonian antara orang Islam dan bukan Islam di republik itu. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " RELA Cuba Disogok ‘Datuk Seri’ Digesa Lapor SPRM "