• #REAKSI Bajet2018: Sarawak Mahu Urus Sendiri Peruntukan Baik Pulih Sekolah Daif - Abang Johari

    Published: Sunday, 29 October 2017
    A- A+


    KUCHING- Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan negeri Sarawak mahu menguruskan sendiri peruntukan berjumlah RM1 bilion dalam Bajet 2018 untuk membangunkan sekolah-sekolah daif di negeri ini.

    Sambil menyambut baik Bajet 2018 itu, Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi Sarawak berkata beliau berharap kerajaan Persekutuan memberikan peruntukan itu terus kepada kerajaan negeri untuk diuruskan.

    "Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak bagi peruntukan ini). Apabila saya memohon RM1 billion (untuk sekolah daif) selain peruntukan bajet lain, beliau telah meluluskannya dan memberikannya kepada Sarawak.

    "Dan saya minta kepada perdana menteri supaya pelaksanaan sekolah ini dibuat di peringkat Sarawak dan bukannya di Putrajaya untuk mengelak masalah birokrasi," katanya semasa berucap pada majlis penutup Pertandingan Worldskills Malaysia Sarawak 2017 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

    Semasa membentang Bajet 2018 pada Jumaat, Najib yang juga Menteri Kewangan mengumumkan sebanyak RM1 bilion diperuntukkan untuk Sabah dan RM1 bilion lagi untuk Sarawak bagi tujuan membaik pulih sekolah-sekolah daif melalui Sistem Bangunan Berindustri (IBS).

    --BERNAMA
  • No Comment to " #REAKSI Bajet2018: Sarawak Mahu Urus Sendiri Peruntukan Baik Pulih Sekolah Daif - Abang Johari "