• Rayuan DUN Sarawak Akan Didengar Pada 26 Oktober

    Published: Wednesday, 4 October 2017
    A- A+

    KUCHING: Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini menetapkan 26 Oktober 2017 untuk pendengaran kes rayuan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak terhadap Mahkamah Tinggi Kuching berhubung keputusannya mengembalikan semula kelayakan Dr Ting Tiong Choon sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut.

    Keputusan itu setelah Mahkamah Rayuan hari ini sebulat suara menolak tanpa kos usul pasukan peguam yang mewakili Dr Ting untuk membatalkan rayuan yang difailkan DUN.

    Mahkamah turut menetapkan pendengaran kes tersebut di Kuching.

    Pada 12 Mei lepas, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak melucutkan kelayakan Dr Ting berpandukan Artikel 17 (1) (G) Perlembagaan negeri Sarawak kerana pernah mendapatkan kewarganegaraan Australia sebelum ini.

    Dr Ting dipercayai melanggar Artikel 17 (1) (G) Perlembagaan Sarawak yang menyatakan seseorang tidak layak dipilih menjadi ahli dewan undangan negeri sekiranya dia pernah, antara lain, secara sukarela mendapatkan kewarganegaraan atau menggunakan hak warganegara di mana-mana negara di luar persekutuan atau telah mengisytiharkan taat setia kepada mana-mana negara di luar persekutuan Malaysia.

    Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Asfia Awang Nasar mengumumkan perlucutan berkuat kuasa serta merta setelah pengundian terhadap usul tersebut menyaksikan 70 menyokong dan 10 menentang.

    Pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 lalu, Dr Ting memenangi kerusi Pujut dengan majoriti 1,759 setelah memperolehi 8,899 undi, menewaskan calon BN, Hii King Chiong yang hanya mendapat 7,140 undi, calon PAS, Jofri (513 undi) dan calon Bebas, Fong Pau Teck (375 undi).

    Walau bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi di Kuching Datuk Douglas Christo Primus Sikayun pada 17 Jun memutuskan Dr. Ting Tiong Choon kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut dan tidak melanggar perlembagaan negeri.

    Sementera itu mengulas perkembangan tersebut, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 7 Julai berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang memperhalusi isu kewarganegaraan Dr Ting Tiong Choon.

    Beliau dipetik akhbar Berita Harian sebagai berkata, langkah seterusnya bakal diperincikan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak memfailkan rayuan berhubung keputusan mahkamah membatalkan pemecatan wakil rakyat pembangkang itu sebelum ini berhubung isu pemilikan dua kerakyatan.

    "Ini termasuk proses rayuan bagi mengenepikan keputusan mahkamah berkenaan. Biar proses ini selesai dulu, kemudian kita bincang tindakan susulan berhubung perkara ini," katanya. - Sarawakiana
  • No Comment to " Rayuan DUN Sarawak Akan Didengar Pada 26 Oktober "