• Rawat 200 pelarian sehari

    Published: Wednesday, 25 October 2017
    A- A+

    KUTUPALONG: Sebuah hospital lapangan baharu di kem pelarian Bangladesh di sini, dikendalikan pasukan Palang Merah, mampu merawat sehingga 200 pesakit sehari.

    Ia ketika pelarian Islam Rohingya yang keletihan terus menyeberangi Bangladesh menggunakan jalan darat dan laut, ramai amat terdesak memerlukan rawatan.

    Seorang bayi lelaki Rohingya, Mohammad Hares, lapan bulan, dalam keadaan nyawa-nyawa ikan ketika dibawa ke hospital lapangan itu akibat pneumonia.

    Namun, kecekapan pasukan perubatan di hospital itu, terbesar seumpamanya di kem penuh sesak di sepanjang sempadan Myanmar, berjaya menyelamatkannya.

    "Jika dia datang terlewat sejam, kanak-kanak itu tiada peluang untuk hidup," kata ketua pasukan perubatan di hospital 60 katil bersaiz dua padang bola itu, Dr Peter Meyer kepada AFP.

    Bayi malang itu adalah antara lebih 600,000 pelarian Rohingya yang membanjiri Bangladesh sejak 25 Ogos lalu, lari daripada keganasan etnik di negara jiran, Myanmar.

    Ramai antara mereka tiba dalam keadaan sakit, kebuluran dan cedera akibat ditembak atau terkena periuk api, meletakkan tekanan ke atas pusat perubatan penuh sesak itu.

    Jururawat pediatrik, Hildur Svenonsdottir berkata, ramai pesakit yang dirawat berada dalam keadaan lemah dan letih.

    "Hampir semua berada dalam keadaan amat keletihan dan dehidrasi kerana perjalanan panjang. Ada juga yang tidak makan berhari-hari lamanya," katanya.

    Pegawai perubatan pula bimbang penyakit bawaan air seperti taun mungkin memburukkan lagi keadaan huru-hara dan ribuan pesakit terutama kanak-kanak sudah menderita akibat cirit-birit akut.

    Dr Meyer berkata, hospital itu bercadang menghantar pasukan bergerak ke dalam kem di mana pondok buluh dan plastik didirikan di tepi bukit jauh dari pusat berkenaan, sejauh beberapa kilometer. -AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Rawat 200 pelarian sehari "