• Pungutan Suara Catalonia, PM Sepanyol Ajak Bincang

    Published: Monday, 2 October 2017
    A- A+

    BARCELONA: Perdana Menteri Sepanyol, Mariano Rajoy, akhirnya mencadangkan semua pihak duduk berbincang demi masa depan bersama selepas menuduh pemisah cuba 'mengugut' seluruh negara itu.

    "Saya mencadangkan semua wakil parlimen parti politik bertemu dan bersama-sama merenung masa depan yang bakal kita tempuhi," kata Rajoy ketika berucap menerusi televisyen.

    Ucapan Rajoy itu disiarkan selepas Pemimpin Catalonia, Carles Puigdemont, mengumumkan hasil pungutan suara penduduk Catalonia yang mahukan kemerdekaan.

    "Pada hari ini, warga Catalonia yang menderita dan mengharap berhak untuk mendapatkan sebuah negara yang merdeka dalam bentuk republik," kata Puigdemont.

    Katanya, dalam tempoh beberapa hari lagi, kerajaannya akan menghantar keputusan pungutan suara ke Parlimen Catalan untuk membolehkan tindakan diambil mengikut undang-undang berdasarkan keputusan pungutan suara.

    Pungutan suara yang dilakukan baru-baru ini menyebabkan krisis perlembagaan kian meruncing di negara itu dan memburukkan lagi hubungan Madrid dan Barcelona.

    Susulan itu, lebih 800 orang cedera ketika berlaku pertempuran antara polis dan penduduk Catalonia, yang menyokong pungutan suara diadakan demi mendapatkan kemerdekaan. - REUTERS

    Subjects:

  • No Comment to " Pungutan Suara Catalonia, PM Sepanyol Ajak Bincang "