• Pulau Pinang Mohon Dikecualikan GST

    Published: Tuesday, 10 October 2017
    A- A+

    BUKIT MERTAJAM – Kerajaan Pulau Pinang memohon pengecualian GST daripada kerajaan persekutuan.

    Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, GST bukan sahaja tidak wajar dilaksanakan, malah turut membebankan kerajaan negeri.

    “Contohnya kalau kita belanjakan RM3.1 bilion untuk projek infrastruktur, sekiranya enam peratus dikenakan maka kita terpaksa bayar RM200 juta untuk GST.


    “Ini satu jumlah yang agar besar dan beban kepada kita. Cuba bayangkan apa yang kita boleh buat dengan RM200 juta ini, tetapi tidak dapat dilaksanakan kerana kita kena bayar kerajaan persekutuan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Latihan Industrial Revolution 4.0 anjuran Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di Auditorium MPSP, Bandar Perda, semalam.

    Menurutnya, tindakan kerajaan persekutuan mengenakan GST kepada kerajaan negeri menimbulkan persoalan kerana kerajaan negeri bukanlah satu institusi yang membuat keuntungan.

    “Apa yang kita buat adalah untuk kepentingan rakyat, tak ada untung untuk kerajaan negeri tetapi kita masih dikenakan GST.

    “Kita bukan syarikat, kita sebuah kerajaan. Kerajaan negeri pun kena bayar GST, kerajaan tempatan pun kena bayar. Saya harap ia dapat dikecualikan sebab tak masuk akal langsung,” katanya.

    Ahli Parlimen Bagan itu berkata, lebih mengecewakan apabila hasrat kerajaan negeri untuk membina jalan bagi kegunaan orang ramai, longkang, dewan orang ramai dan pembinaan pasar juga dikenakan GST.

    “Sebab itulah saya harap apabila kita nak membangunkan Malaysia dan tapak perindustrian, kalau tak mahu hapuskan GST sekalipun kecualikan ia daripada kerajaan negeri dan kerajaan tempatan,” katanya.

    Sementara itu, beliauberkata, ada syarikat ternama dari luar negara akan bina kilang di Tapak Perindustrian Tinggi Batu Kawan.

    “Ini adalah sesuatu yang amat penting apabila Pulau Pinang telah menyumbang sebanyak 24 peratus daripada keseluruhan eksport Malaysia. Tahun hadapan kita akan menyumbang lebih 30 peratus daripada jumlah eksport Malaysia.

    “Batu Kawan adalah satu tapak perindustrian yang terancang dan kita dapat meyakinkan pelabur untuk datang mendirikan kilang mereka dengan program dan kelebihan yang ada di negeri ini, sama ada dari aspek sumber manusia yang berkualiti, logistik, rantai bekalan yang sedia,” katanya. - SinarHarian

    Subjects:

  • No Comment to " Pulau Pinang Mohon Dikecualikan GST "