• PTPTN Yakin Beri Dividen 4% Pemegang Akaun SSPN-i

    Published: Friday, 20 October 2017
    A- A+

    KULIM – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yakin dapat mengekalkan secara konsisten pemberian dividen sebanyak empat peratus kepada 2.7 juta penyimpan akaun SSPN-i.

    Pengerusinya, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata pihaknya juga menyasarkan pemberian dividen lebih tinggi pada tahun ini dalam usaha menjadikan tabiat menabung sejak usia muda sebagai amalan untuk pendidikan.

    “Pada tahun lalu, kita secara konsisten berjaya memberi sebanyak empat peratus dividen dan ia lebih tinggi berbanding mana-mana institusi kewangan yang menawarkan skim yang sama. Ini kerana kita bukan saja bertindak sebagai pemberi pinjaman dan mengutip hutang tetapi melakukan lebih daripada itu untuk memastikan pendeposit mendapat faedah daripada tabungan mereka,” katanya.

    Beliau bercakap kepada media selepas merasmikan Program UMNO Bantu Rakyat 2.0 di Parlimen Kulim/Bandar Baharu di sini hari ini.

    PTPTN, katanya, turut berharap dapat mencapai sasaran 350,000 akaun baharu dengan 500 juta pendeposit pada tahun ini secara mempergiatkan kempen agar SSPN-I menjadi pilihan orang ramai sebagai simpanan pendidikan.
    ​​​​​​​
    Dalam pada itu, Shamsul Anuar berkata peratusan pembayaran balik melalui kaedah potongan gaji yang dilakukan sejak 2015 semakin meningkat dan diterima baik oleh peminjam.

    “Saya tiada angka yang tepat bagi tahun ini namun apa yang pasti, peratusannya semakin bertambah dari tahun ke tahun dan kita masih meneruskan pemberian diskaun 10 peratus kepada pembayaran melalui potongan gaji dengan harapan lebih ramai peminjam menggunakan kaedah ini untuk membuat pembayaran,” katanya.

    Dalam pada itu, Program UMNO Bantu Rakyat 2.0 di sini menyaksikan seramai 300 pelajar menerima bantuan untuk membuka akaun SSPN-i, 300 penerima daripada golongan kurang berkemampuan menerima barangan keperluan harian dan 10 buah rumah terpilih untuk dibaiki sistem pendawaian elektrik oleh pelajar GiatMara. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " PTPTN Yakin Beri Dividen 4% Pemegang Akaun SSPN-i "