• PRU14: William Nyalau Berserah Kepada PRS Dan Pucuk Pemimpin BN

    Published: Wednesday, 4 October 2017
    A- A+

    KUCHING: Terserah kepada Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan pucuk kepimpinan Barisan Nasional (BN) untuk menentukan sama ada akan mencalonkannya atau sebaliknya pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 kata Ahli Parlimen Lubok Antu Datuk William Nyalau Badak.

    Memetik laporan Utusan Borneo, beliau berkata, terserah kepada parti dan pucuk kepimpinan BN untuk membuat keputusan.

    “Saya menghormati keputusan beliau (Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing) kerana beliau presiden parti.

    “Kalau beliau (Masing) tidak mahu saya mempertahankan kerusi Lubok Antu pada PRU kelak, tak apalah. Itu hak atau prerogatif beliau,” katanya.

    Bagaimanapun Nyalau, 65, berkata setakat hari ini beliau tidak pernah gagal menunaikan tugasnya sebagai wakil rakyat, malah Masing mengatakan pencapaiannya baik dan memuaskan.

    Menurutnya, setakat ini Masing tiada memaklumkan kepadanya, tidak dicalonkan semula dan hanya mengetahui perkara itu menerusi laporan akhbar.

    Selain itu, tambahnya lagi, banyak cara untuk memilih calon dimana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN, pernah mengatakan calon mesti yang dipilih oleh rakyat atau akar umbi atau calon boleh menang.

    “Sokongan akar umbi kepada saya masih kuat. Jika saya diberi peluang bertanding mempertahankan kerusi Lubok Antu. Saya boleh menang dengan majoriti besar,” ujarnya.

    Terdahulu, Nyalau bertanding pada PRU ke-12 (2008) menewaskan calon SNAP, Nicholas Bawin. Pada PRU ke-13 (2011) Nyalau berjaya mempertahankan kerusi itu dalam pertandingan tiga penjuru, menewaskan Larry Sng dan Nicholas Bawin dengan majoriti undi, 4,091. – Sarawakiana
  • No Comment to " PRU14: William Nyalau Berserah Kepada PRS Dan Pucuk Pemimpin BN "