• Prosiding Jong Nam: Dua Tertuduh Naik Kerusi Roda

    Published: Tuesday, 24 October 2017
    A- A+


    SEPANG: Perbicaraan hari kesembilan kes pembunuhan warga Korea Utara, Kim Jong Nam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) berlangsung lebih tiga jam.

    Pada prosiding hari ini, Hakim Datuk Azmi Ariffin meninjau lebih kurang 10 ke 15 lokasi di kawasan klia2 berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kedudukan dua tertuduh iaitu warga Indonesia, Siti Aisyah dan warga Vietnam, Doan Thi Huong pada hari kejadian pembunuhan.

    Bagaimanapun selepas satu jam tinjauan selain menyarung baju kalis peluru yang dianggarkan seberat satu kilogram, kedua-dua tertuduh memohon untuk menggunakan kerusi roda kerana tidak mampu berjalan akibat kepenatan.

    "Mereka memakai baju kalis peluru dengan berat yang dianggarkan lebih kurang satu kilogram.

    "Jadi mereka terlalu penat dan memohon untuk menggunakan kerusi roda," kata peguam bela Doan, Gooi Soon Seng.

    Dalam pada itu, Pengarah Pendakwaan Selangor selaku Ketua Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad berkata sejumlah 10 hingga 15 lokasi yang melibatkan pembunuhan Jong Nam telah ditinjau Hakim Datuk Azmi Ariffin.

    Jelasnya, tinjauan lokasi itu dilakukan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang telah merakam gerak-geri kedua-dua tertuduh.

    "Kita telah mengambil masa lebih kurang tiga jam setengah untuk meninjau lokasi berdasarkan CCTV.

    "Lebih kurang 10 ke 15 lokasi dalam klia2 ini telah kita pergi," katanya selepas tamat prosiding yang berlangsung di Balai Polis klia2 di sini hari ini.

    Antara lokasi yang menjadi fokus prosiding hari ini seperti kaunter daftar masuk di mana pembunuhan tersebut dikatakan berlaku, tandas di mana kedua-dua tertuduh mencuci tangan mereka selepas menyapu cecair dipercayai Agen Saraf VX di muka Jong Nam, klinik di mana Jong Nam mendapatkan rawatan awal serta hentian teksi yang dipercayai lokasi akhir kedua-dua tertuduh sebelum meninggalkan KLIA2.

    Hakim Datuk Azmi Ariffin sebelum itu tiba di KLIA2 pukul 9.10 pagi selepas kedua-dua tertuduh serta pasukan peguam bela tiba 20 minit sebelum itu.

    Kawalan keselamatan turut dipertingkat dengan kehadiran lebih 200 anggota dan pegawai Polis DiRaja Malaysia (PDRM) termasuk Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC). - Awani

    Subjects:

  • No Comment to " Prosiding Jong Nam: Dua Tertuduh Naik Kerusi Roda "