• Prestasi Malaysia Teruk Bukan Salah JDT

    Published: Friday, 20 October 2017
    A- A+

    Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) menempelak bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail yang menyalahkan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) sebagai punca kemerosotan prestasi skuad kebangsaan ketika ini.

    Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam menegaskan tiada pasukan tempatan yang patut dipersalahkan termasuk juara Liga Super empat kali itu atas kejatuhan ranking skuad Harimau Malaya.

    Katanya, kejayaan pasukan kebangsaan perlu dinilai secara berasingan daripada kejayaan sesebuah kelab yang menempa pelbagai kecemerlangan dalam liga tempatan.

    Malah, Kevin turut menyifatkan pandangan itu sebagai satu pemikiran yang begitu sempit dan secara tidak langsung terus menggagalkan rancangan untuk mengubah keadaan menerusi kritikan yang tidak membawa sebarang faedah.

    “Semua orang mungkin berhak memberikan pendapat. Tetapi jika dilihat realitinya adalah liga dengan pasukan yang mendominasi atau sebilangan kecil pasukan yang mendominasi seperti Jerman, Itali, Sepanyol dan Perancis lebih banyak menghasilkan kejayaan di peringkat antarabangsa berbanding liga yang memiliki banyak pencabar seperti England.

    “Jadi pandangan saya ialah tidak ada pasukan tempatan yang boleh dipersalahkan untuk prestasi pasukan kebangsaan. Liga sememangnya harus menyediakan asas yang kukuh untuk pemain dapat mengembangkan bakat.

    “Tetapi sebenarnya kejayaan pasukan kebangsaan perlulah diambil berasingan daripada ini. Jika tidak, bagaimana kita menilai EPL yang dianggap sebagai salah satu liga yang paling menguntungkan dan menarik di dunia?” katanya menerusi laman rasmi Facebook FMLLP, hari ini.

    Semalam, Jamal yang juga adalah bekas pertahanan skuad Olimpik Moscow 1980 mendakwa antara punca kemerosotan prestasi dan ranking skuad kebangsaan disebabkan penghijrahan pemain bintang tempatan ke skuad Harimau Selatan itu.

    Menurutnya, kemerosotan itu dapat dilihat sebaik tonggak kebangsaan yang begitu menyerlah sebelum menyertai Johor DT seakan kehilangan sentuhan apabila mereka kembali beraksi bersama Harimau Malaya.

    Katanya, tindakan Johor DT ‘menyapu bersih’ semua pemain hebat tempatan yang kemudiannya sekadar memanaskan bangku simpanan, cukup merugikan terutamanya buat skuad kebangsaan.

    Dalam perkembangan lain, Kevin yang mengikuti delegasi FMLLP serta Persatuan Bola Sepak Malaysia dalam lawatan kerja di Sepanyol yang memasuki hari keempat turut memberi bayangan betapa badan pengelola liga itu sedia untuk melaksanakan pemilikan kelab menerusi penyokong yang memiliki pengaruh pada masa akan datang.

    “Struktur kelab adalah salah satu perkara yang kami perhatikan ketika berada di sini. Ia adalah pilihan bagus untuk sesetengah pasukan dan saya berharap ada pasukan yang akan menimbangkannya,” katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Prestasi Malaysia Teruk Bukan Salah JDT "