• Politeknik Ke-34 Di Besut

    Published: Monday, 2 October 2017
    A- A+

    JERTIH: Kementerian Pendidikan Tinggi akan membina politeknik di daerah Besut untuk menghasilkan lebih ramai graduan kemahiran dan teknikal.

    Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata pembinaan politeknik ke-34 itu dapat melengkapkan usaha kerajaan negeri menjadikan Besut sebagai hab pendidikan utama di Terengganu.

    Beliau berkata, politeknik berharga RM180 juta itu akan dibina di kawasan seluas 28 hektar di Bukit Keluang di sini, dengan reka bentuk menarik dan mesra alam.

    "Politeknik ini yang disediakan dengan pelbagai kemudahan pembelajaran mampu menampung sehingga 2,000 pelajar," katanya di sini hari ini.

    Idris yang juga Ahli Parlimen Besut berkata, majlis pecah tanah kampus politeknik berkenaan dijangka dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, pada Jumaat ini.

    Beliau berkata, Besut wajar diberikan status hab pendidikan utama di negeri ini kerana mempunyai pelbagai pusat pendidikan seperti kampus Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA); Maktab Perguruan Sultan Mizan; kolej vokasional; kolej komuniti; institut latihan Islam Malaysia (ILIM); taman ilmu dan dua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

    Beliau berkata, semua projek pendidikan itu menjadikan Besut berkembang pesat berikutan pertambahan penduduk dan memerlukan lebih banyak kemudahan asas. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Politeknik Ke-34 Di Besut "