• Polis tahan 68 'along'

    Published: Thursday, 26 October 2017
    A- A+

    IPOH: Seramai 68 lelaki dipercayai terbabit dalam kegiatan ceti haram atau 'along' di sekitar bandar raya ini ditahan sejak Januari lalu.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Abdul Rani Alias, berkata semua suspek berusia antara 20 hingga 60 tahun ditahan selepas pihaknya menerima laporan berhubung gangguan daripada 'along' berkenaan kepada mangsa.

    "Semua tangkapan hasil daripada 99 laporan polis yang dibuat mangsa.

    "Sebanyak lima kes telah dibuka kertas siasatan berikutan mangsa diugut dan diganggu oleh suspek," katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas operasi bersepadu, Ops Vulture bersama-sama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang menurunkan iklan perkhidmatan along di sekitar bandar raya di sini hari ini.

    Abdul Rani berkata, lebih 6,000 kain rentang, gegantung dan papan iklan diturunkan sepanjang tiga hari operasi berkenaan dijalankan oleh kakitangan MBI.

    "Antara kawasan yang menjadi tumpuan operasi termasuk di Bercham, Kampung Tawas dan Gunung Rapat.

    "Siasatan mendapati semua nombor telefon yang tertera di iklan berkenaan menggunakan identiti orang lain," katanya.

    Abdul Rani berkata, usaha membanteras kegiatan 'along' akan diteruskan dari semasa ke semasa dan semua kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 manakala bagi perbuatan menggantung papan iklan, disiasat mengikut Seksyen 29A(1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

    Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai supaya tidak terpedaya dengan tawaran peminjam wang tanpa lesen kerana dikhuatiri mendatangkan ancaman kepada peminjam.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Polis tahan 68 'along' "