• Polis Berdepan Tindakan Periksa Warga Asing Tanpa Imigresen

    Published: Monday, 16 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR : Lima anggota Polis Diraja Malaysia yang didapati menjalankan pemeriksaan ke atas warga asing tanpa kebenaran di sekitar daerah Dang Wangi di sini, akan dikenakan tindakan tatatertib.

    Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi berkata amaran sudah diberikan berkali-kali kepada anggota polis bahawa sebarang pemeriksaan ke atas warga asing harus dilakukan bersama Jabatan Imigresen Malaysia.

    “Kita akan ambil tindakan kepada mereka kerana ada pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan anggota yang terlibat dengan kesalahan memeriksa warga asing tanpa kebenaran.

    “Kita tidak akan bertolak ansur dan akan ambil tindakan tegas terhadap mana-mana anggota apa pangkat sekali pun jika terlibat dengan kesalahan itu,” katanya.

    Lima anggota polis dari Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi terbabit dilapor disiasat kerana menjalankan pemeriksaan ke atas warga asing tanpa kebenaran sejak beberapa hari lalu di sekitar daerah Dang Wangi. — Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Polis Berdepan Tindakan Periksa Warga Asing Tanpa Imigresen "