• Polis Ambil DNA Keluarga Mahmud

    Published: Wednesday, 25 October 2017
    A- A+


    PUTRAJAYA: Polis sudah mengambil sampel asid deoksiribonukleik (DNA) ahli keluarga militan warga Malaysia, Dr Mahmud Ahmad, termasuk anak bekas pensyarah itu di Selayang, beberapa hari lalu.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata sampel itu bagi mengesahkan mayat ditemui kerajaan Filipina itu adalah Mahmud, seperti yang didakwa.

    "Berdasarkan maklumat yang kita terima daripada pihak berkuasa Filipina, memang kita sahkan Mahmud terbunuh.

    "Namun, kita ada buat permintaan sekiranya mayat (Mahmud) ditemui, kita mahu hantar sampel DNA ini untuk sahkan sama ada Mahmud betul-betul meninggal atau sebaliknya.

    "Yang terbaik kita dapat lakukan ialah berhubung dengan pihak berkuasa Filipina, bagi pengesahan sekiranya mayat ditemui, kalau mereka beri kebenaran, kita akan minta untuk dibuat ujian DNA.

    "Setakat ini belum ada permintaan pihak berkuasa Filipina (untuk pengesahan DNA), tapi sekiranya ada, kita ambil langkah proaktif dengan menghantar pegawai forensik ke Filipina untuk kenal pasti mayat," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri, di sini hari ini.

    Mohamad Fuzi berkata, pihaknya bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa Filipina dalam urusan pengesahan DNA Mahmud, yang disahkan kerajaan Filipina terbunuh dalam pertempuran di Marawi, baru-baru ini.

    Beliau berkata, pihaknya juga akan berusaha untuk membawa balik mayat berkenaan seandainya ada permintaan daripada keluarga.

    Baru-baru ini, Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, mengumumkan Mahmud terbunuh dalam peperangan antara tentera Filipina dengan militan di bandar Marawi. - BH Online

    Subjects:

  • No Comment to " Polis Ambil DNA Keluarga Mahmud "