• PM Tiba Di Brunei Untuk Sambutan Jubli Emas

    Published: Friday, 6 October 2017
    A- A+


    BANDAR SERI BEGAWAN – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Brunei Darussalam bagi menghadiri majlis santapan diraja bersempena sambutan Jubli Emas Ulang Tahun Ke-50 Pemerintahan Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman di sini, malam ini.

    Pesawat yang membawa beliau dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei kira-kira 12 tengah hari tadi.

    Antara yang menyambut ketibaan mereka ialah Menteri Pendidikan Brunei Pehin Suyoi Osman dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Brunei Datuk Ghulam Jelani Khanizaman.

    Sejurus tiba, Najib terus ke Masjid As-shaliheen di sini untuk menunaikan solat Jumaat.

    Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V serta Raja-raja Melayu turut dijadualkan menghadiri santapan diraja itu.

    Sementara itu, suasana di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei ketika ini agak sibuk dengan ketibaan pesawat yang membawa ketua-ketua negara dan kerajaan asing termasuk pemimpin-pemimpin dari Asia Tenggara dan keluarga diraja Asia Barat yang dijemput menghadiri majlis itu.

    Antara pemimpin dari Asia Tenggara yang dijangka hadir ialah Presiden Indonesia Joko Widodo, pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi, Presiden Filipina Rodrigo Duterte, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong serta Perdana Menteri Thailand General Prayut Cha-O-Cha.- Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " PM Tiba Di Brunei Untuk Sambutan Jubli Emas "