• PM Perkenal 3 Inisiatif Tadbir Urus Negara Yang Baik

    Published: Tuesday, 31 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tadbir urus yang baik telah menjadi dasar pentadbirannya sejak mengambil alih kerajaan pada 2009 dengan memperkenalkan tiga inisiatif penting.

    Beliau memberitahu, inisiatif pertama yang diperkenalkannya adalah konsep 1Malaysia; kedua, program transformasi kerajaan (GTP) dan ketiga program transformasi ekonomi (ETP).

    “Konsep 1Malaysia merupakan falsafah teras yang memacu negara ke hadapan yang mana amat penting dalam sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian kepercayaan dan kaum.

    “GTP pula merupakan alat pelaksanaan untuk memperbaiki prestasi kerajaan bagi memenuhi aspirasi dan keperluan masyarakat manakala ETP merupakan satu program kritikal untuk Malaysia bagi mencapai matlamat sebuah negara membangun dan berpendapatan tinggi,” katanya sewaktu berucap pada Majlis Makan Malam Dwitahunan Persatuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Malaysia (UNAM) di sini malam ini.

    Yang turut hadir, Presiden UNAM, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail dan timbalannya, Tan Sri Razali Ismail.

    Tambah Perdana Menteri, di bawah pemerintahannya, seba­nyak 2.26 juta peluang pekerjaan berjaya diwujudkan dengan lebih sejuta merupakan pekerjaan berpendapatan tinggi manakala pendapatan negara kasar (PNK) telah meningkat hampir 50 peratus.

    Katanya, walaupun berhadapan situasi ekonomi yang mencabar, Malaysia berjaya mencapai pertumbuhan 5.1 peratus dalam tempoh 2010 sehingga 2016.

    Beliau memberitahu, defisit fiskal pula menyusut dari 6.7 peratus pada 2009 kepada 3.1 pada 2016 dan menyasarkan tiga peratus tahun ini.

    “Laporan yang ditulis bersama Wharton School di University Pennsylvania melalui Laporan Negara Terbaik 2017 pula menyatakan Malaysia adalah negara terbaik untuk dilabur,” ujarnya.

    Najib berkata, kesihatan demo­krasi turut diperkukuhkan di ba­wah kerajaan negara ini iaitu dengan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang wujud lebih 60 tahun.

    Malah, kerajaan telah meningkatkan kebebasan media dengan memansuhkan larangan terhadap lesen-lesen penerbitan.

    Malaysia juga, katanya, mengubah Akta Universiti dan Kolej Universiti bagi membolehkan mahasiswa terlibat dalam aktiviti-aktiviti politik.

    Menurut Najib, demokrasi me­­merlukan peraturan, kekuatan dan institusi bebas tetapi semuanya bergantung kepada tadbir urus yang baik.

    - Utusan Online

    Subjects:

  • No Comment to " PM Perkenal 3 Inisiatif Tadbir Urus Negara Yang Baik "