• PM nikmati nasi daun pisang

    Published: Wednesday, 18 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Di sebalik jadual yang padat, Datuk Seri Najib Razak sempat meluangkan masa menjamah nasi daun pisang bagi meraikan sambutan Deepavali anjuran MyPPP di Brickfields, hari ini.

    Perdana Menteri yang tiba pada jam 11.45 pagi tadi dengan mengenakan persalinan kurta berwarna krim, menikmati hidangan sinonim dengan masyarakat India itu, selain juadah sampingan seperti vadey, papadom, payasam, rasam dan cendol.

    Lebih menarik, Presiden MyPPP, Tan Sri M Kayveas selaku tuan rumah sambutan Fiesta Deepavali tidak duduk makan semeja, sebaliknya sibuk menyajikan pelbagai juadah kepada Najib dan tetamu undangan lain.

    Najib sempat bertanya kepada Kayveas mengapa hadirin yang duduk di meja depannya tidak diberikan juadah untuk dinikmati bersama, sebelum makanan disaji kepada tetamu berkenaan.

    Selesai menikmati hidangan, Perdana Menteri beransur meninggalkan majlis pada jam 12.15 tengah hari untuk ke satu lagi sambutan Deepavali di Sentul.

    Antara yang hadir memeriahkan majlis disertai kira-kira 5,000 orang itu adalah Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Timbalannya, Datuk Dr Loga Bala Mohan; isteri Kayveas, Puan Sri Blanche O 'Leary dan barisan kepemimpinan MyPPP.

    Kayveas yang ditemui media berkata, rakyat Malaysia beruntung kerana dapat meraikan perayaan keagamaan masing-masing dalam keadaan harmoni tanpa dicemari insiden tidak diingini.

    "Malaysia mengamalkan konsep kesamarataan, justeru tiada rakyat tercicir daripada arus kemajuan termasuk masyarakat India yang mewarnai identiti perpaduan di negara ini.

    "Bagaimanapun, amat menyedihkan apabila wujud segelintir pihak yang cuba menangguk di air yang keruh, kononnya komuniti India sengaja disisihkan kerajaan dan tidak diberikan bantuan sewajarnya.

    "Tindakan cuba 'mencucuk' perpaduan antara kaum ini adalah ancaman yang cuba ditangani kerajaan, namun memerlukan kerjasama semua pihak supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakyah dan tuduhan membuta tuli," katanya.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " PM nikmati nasi daun pisang "