• PM Hadir Rumah Terbuka Deepavali MIC

    Published: Wednesday, 18 October 2017
    A- A+


    GOMBAK: Suasana meriah mewarnai sambutan Deepavali hari ini dengan penganut Hindu mengadakan upacara keagamaan dan menerima kunjungan sanak-saudara.

    Antara acara kemuncak sambutan ialah acara di perkarangan kompleks kuil Batu Caves, di sini.

    Ia dimeriahkan dengan kehadiran Datuk Seri Najib Razak yang menyertai ribuan rakyat pelbagai kaum dan latar belakang pada majlis rumah terbuka Deepavali anjuran MIC.

    Paluan gendang dan seruling dimainkan bagi menyambut ketibaan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) kira-kira jam 10.45 pagi.

    Ketibaan Presiden UMNO itu disambut Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam dan timbalan, Datuk Seri SK Devamany serta barisan pemimpin MIC.

    Yang turut sama hadir, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Duta Khas Malaysia ke India dan Asia Selatan, Tun S Samy Vellu; Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai serta Presiden GERAKAN, Datuk Seri Mah Siew Keong.

    Sebelum ke meja hidangan, Najib yang mengenakan kurta berwarna krim, turut mengambil peluang melihat seni kolum khas di hadapan laluan masuk ke pentas utama.

    Kolum adalah seni hiasan yang diletakkan di lantai di hadapan rumah.

    Ia biasanya dibuat sehari sebelum sambutan Deepavali, menggunakan bahan seperti beras berwarna-warni.

    Sementara itu tinjauan BH di sini, mendapati ribuan rakyat tanpa mengira kaum termasuk pelancong asing tidak melepaskan peluang hadir ke rumah terbuka ini.

    Selain pelbagai persembahan pentas, pengunjung juga dihidangkan dengan pelbagai menu makanan tradisi seperti roti canai, vadey dan idli. - BH Online

    Subjects:

  • No Comment to " PM Hadir Rumah Terbuka Deepavali MIC "