• PL1M Bantu Usahawan Kembang Perniagaan Online

    Published: Thursday, 5 October 2017
    A- A+


    PUTRAJAYA - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), menerusi Pusat Internet 1Malaysia (PI1M), berjaya menyuntik semangat keusahawanan dalam kalangan komuniti setempat dengan memanfaatkan kemudahan akses Internet yang disediakan.

    Pengerusi SKMM, Tan Sri Dr Halim Shafie berkata, matlamat asal penubuhan PI1M, kira-kira 10 tahun lepas, mahu meningkatkan akses Internet kepada masyarakat luar bandar, kini beralih kepada penganjuran pelbagai program bagi meningkatkan sosioekonomi masyarakat setempat.

    Beliau berkata dasar-dasar yang dilaksanakan kerajaan melalui SKMM seperti Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan, memperlihatkan kadar penembusan jalur lebar negara meningkat 81.7 peratus sehingga suku pertama tahun ini.

    "Berdasarkan kadar akses yang lebih tinggi itu, fokus PI1M beralih kepada penganjuran pelbagai program, selain daripada latihan asas kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), bagi menaikkan sosioekonomi masyarakat setempat,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Usahawan Terbaik PI1M di sini hari ini.

    Program yang dijalankan termasuk latihan ICT/e-pembelajaran/media sosial, keusahawanan, coding/robotik, kreatif multimedia dan juga modul pembelajaran sepanjang hayat yang dilaksana di 840 PI1M di seluruh negara, katanya.

    Halim berkata SKMM akan terus bekerjasama dengan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dengan menyediakan saluran latihan pensijilan yang betul seperti Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP), Skim Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI), kelulusan Kementerian Kesihatan dan sijil Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk pada usahawan yang terlibat.

    Pertandingan Usahawan Terbaik PI1M yang julung kali diadakan itu dibuka kepada ahli PI1M yang aktif menjalankan perniagaan sekurang-kurangnya enam bulan, selain mempunyai produk perniagaan sendiri.

    Bagi pertandingan tersebut, pemenang Usahawan Terbaik PI1M Wilayah Utara, Nur Isma Afifi Md Aris muncul sebagai Usahawan Terbaik PI1M peringkat kebangsaan dengan mengalahkan lima usahawan yang memenangi pertandingan itu di lima wilayah mereka masing-masing.

    Nur Isma Afifi, 30, merupakan pengusaha madu kelulut dan produk berasaskan madu kelulut yang telah memperoleh pendedahan untuk mentranformasikan teknik pemasaran secara dalam talian setelah mengikuti latihan di PI1M Belimbing Kanan, Padang, Terap, Kedah.

    "Selain madu kelulut, produk yang saya keluarkan seperti sabun mandi, krim malam dan krim siang, gel mandian yang berasaskan madu kelulut, berjaya menembusi pasaran di Brunei, Singapura, Indonesia dan Thailand,” katanya.- Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " PL1M Bantu Usahawan Kembang Perniagaan Online "