• Pingat hargai veteran tentera, polis

    Published: Monday, 2 October 2017
    A- A+


    PETRA JAYA: Seramai 150 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikurniakan Pingat Jasa Malaysia (PJM) dan Pingat Jasa Pahlawan Negara (JPN), sempena sambutan Hari Pahlawan peringkat negeri, hari ini.

    Istiadat pengurniaan itu disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud, di Dewan Undangan Negeri, di sini.

    Panglima 1 Divisyen Infantri Tentera Darat Malaysia, Mej Jen Datuk Stephen Mundaw, berkata istiadat itu menyaksikan buat julung kalinya pengurniaan pingat kepada veteran dua pasukan keselamatan itu diadakan serentak.

    Beliau berkata, pingat berkenaan dikurniakan bagi menghargai jasa kepahlawanan dan bakti anggota pasukan keselamatan pada negara ketika zaman darurat mulai 1948 hingga 1960 serta zaman menentang insurgensi komunis mulai tahun 1968 hingga 1989.

    "Kita menghimpunkan veteran kedua-dua pasukan keselamatan pada satu majlis hari ini sebagai menghargai sumbangan mereka pada keamanan dan kemakmuran negara," katanya.

    Yang turut hadir, isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Raghad Kurdi Taib; Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Panglima Medan Timur Tentera Darat Malaysia, Left Jen Datuk Mohd Zaki Mokhtar dan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Amer Awal.

    PJM adalah 'Campaign Medal' yang diperkenalkan pada 2004, dikurniakan kepada veteran ATM dan anggota Pasukan Pengaman dari negara luar yang bertugas menegakkan keamanan dan kedaulatan negara.

    JPN yang diperkenalkan pada 2014 pula dikurniakan kepada veteran PDRM bagi menghargai jasa mereka ketika era darurat Persekutuan Tanah Melayu serta peperangan menentang pengganas komunis di Sabah dan Sarawak.

    Antara bekas pegawai kanan PDRM yang dikurniakan JPN pada majlis itu ialah bekas Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dr Chai Kim Choon dan bekas Ketua Pasukan Trafik Bukit Aman, Datuk Gingkoi Seman Pancras.

    Selain itu, bekas Komandan Maktab PDRM, Datuk Benjamin Hasbie; bekas Ketua Cawangan Khas Sabah, Datuk Clarence Rorote dan bekas diplomat, Datuk Abdul Hamid Bulat.

    Sementara itu, seorang veteran ATM, Edward Ballang Lang, berkata beliau terharu dengan pengurniaan PJM.

    "Bagi saya, pingat ini besar nilainya kerana ia penghargaan terhadap perkhidmatan saya dalam tentera terutamanya ketika era menentang pengganas komunis," katanya.-
    BHOnline
  • No Comment to " Pingat hargai veteran tentera, polis "