• PIC Beroperasi Awal 2019

    Published: Tuesday, 24 October 2017
    A- A+

    KOTA TINGGI: Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), projek pelaburan terbesar PETRONAS di Malaysia yang dibangunkan di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC), sudah mencapai kemajuan pembinaan 77 peratus, kata Datuk Seri Najib Razak.

    Perdana Menteri berkata, dengan pelancaran Loji Kojana Pengerang (PCP) dan Terminal Regasifikasi 2 (RGT2) iaitu kemudahan sokongan PIC hari ini, ia bakal melengkapkan pembangunan kompleks berkenaan yang dijangka memulakan operasinya pada suku pertama 2019.

    Katanya, jumlah pelaburan di PIPC dijangka menjana pendapatan kasar RM8.3 bilion menjelang 2020, dengan PIC sebagai penyumbang terbesar.

    "Setakat akhir September, saya dimaklumkan pihak PETRONAS bahawa kemajuan projek PIC sudah mencapai 77 peratus.

    "Prasarana kritikal di lokasi sudah lengkap, sedia untuk memulakan operasi bersepadu seawal suku pertama 2019 sebagai persediaan untuk menyokong operasi loji penapisan minyak dan perekah wap (Refinery and Cracker) sedikit masa lagi.

    "Beberapa bulan lalu, dua daripada enam kemudahan sokongan kompleks ini sudah memulakan proses pentauliahan, merangkumi RGT2 dan PCP yang menjadi mercu tanda penting PIC," katanya dalam ucapan pada majlis perasmian RGT2 dan PCP di PIC, Pengerang, dekat sini hari ini.

    Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, selaku wakil rasmi Perdana Menteri.

    Yang hadir sama, Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

    Najib berkata, dua kemudahan berkenaan adalah komponen utama bagi membekalkan kuasa dan wap serta memenuhi keperluan gas bagi loji penapisan dan petrokimia di PIC.

    "RGT2 yang berkapasiti 3.5 juta tan setahun itu bukan saja membekalkan gas kepada kemudahan lain di PIC tetapi juga kepada saluran gas Penggunaan Gas Semenanjung (PGU) yang membekalkan gas ke seluruh Semenanjung.

    "Bagi PCP, loji ini bakal menghasilkan 1,200 megawatt (MW) tenaga elektrik dan membekalkan wap berterusan sebanyak 1,480 tan sejam," katanya.

    Beliau berkata, kemudahan RTG2 akan menyokong inisiatif liberalisilasi pasaran gas di Malaysia dan menjamin kesinambungan bekalan gas di masa hadapan.

    "Pembangunan pesat ekonomi negara dijangka mempertingkatkan lagi permintaan gas asli dan dengan terbinanya RTG2 ini, infrastruktur untuk penyaluran gas ke negara kita semakin kukuh," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " PIC Beroperasi Awal 2019 "