• Petrol, Tong Gas, Minyak Masak Cuba Diseludup Keluar Dari Sandakan

    Published: Sunday, 8 October 2017
    A- A+
    SANDAKAN, 8 Okt (Bernama) -- Pasukan Polis Marin (PPM) menahan dua orang juragan dan dua kru kapal nelayan yang disyaki cuba menyeludup barang kawalan ke negara jiran di kawasan laut berhampiran Pulau Berhala dekat sini semalam.

    Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohd Yazib Abd Aziz berkata dalam pemeriksaan PPM ke atas dua bot nelayan pada jam 5.30 petang telah menemukan dua tong drum minyak petrol, 36 tong gas memasak dan 391 bungkus minyak masak.

    "Kesemua barang kawalan itu dijumpai di kargo hadapan dan belakang kedua-dua kapal nelayan itu, yang disyaki cuba diselewengkan bagi tujuan penyeludupan ke Filipina," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata nilai minyak petrol yang dirampas ialah RM4,818, tong gas (RM7,740) dan minyak masak (RM977.50).

    Juragan dan kru kapal yang ditahan tinggal di Pulau Berhala dan berusia antara 32 hingga 63 tahun, katanya. -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Petrol, Tong Gas, Minyak Masak Cuba Diseludup Keluar Dari Sandakan "