• Peserta Konvoi Tiada Hak Sekat Jalan

    Published: Tuesday, 3 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Penunggang motosikal termasuk jenis berkuasa tinggi, diingatkan yang mereka tidak mempunyai hak atau kuasa membuat sekatan terhadap mana-mana kenderaan atau mengawal selia aliran trafik terutama ketika berkonvoi di jalan raya.

    Pengerusi Penaja Gabungan Persatuan Permotoran Malaysia, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata kuasa membuat sekatan atau mengawal aliran trafik adalah terletak sepenuhnya kepada pihak berkuasa sesebuah negara.

    Di Malaysia, katanya ia terletak sepenuhnya dibawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Jabatan Trafik PDRM.

    "Jadi mana-mana persatuan motosikal berkuasa tinggi, jangan anda ingat bila kita membawa motosikal itu, kita terlepas dan tidak tertakluk kepada undang-undang tempatan atau negara tertentu.

    "Jika kita berkonvoi di negara orang, contohnya, kita mesti mematuhi dan mengikuti segala peraturan yang ditetapkan di negara terbabit, bukannya bertindak mengikut kehendak kita sendiri," katanya.

    Ab Rauf mengulas mengenai tindakan sekumpulan konvoi motosikal berkuasa tinggi Malaysia di Narathiwat, Thailand yang menahan kenderaan lain di lampu isyarat, bagi memberi peluang kepada peserta kumpulan konvoi itu laluan terbabit tanpa sebarang sekatan.

    Video tindakan kumpulan konvoi motosikal itu mula viral di media sosial sejak beberapa hari lalu, selepas berita mengenainya dilaporkan menerusi satu siaran televisyen Thailand baru-baru ini.

    Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, bukan saja di Thailand, malah tindakan seumpama itu sememangnya tidak dibenarkan di negara ini.

    "Jika mana-mana persatuan motosikal berkuasa besar mahu berkonvoi dan memerlukan khidmat pengawal pengiring (konvoi), ia mesti dikendali dan mendapat kelulusan daripada oleh pasukan trafik PDRM ," katanya.

    Beliau juga meminta semua persatuan permotoran di negara ini mengadakan kursus atau latihan kepada semua ahli bagi memberi kefahaman berkenaan undang-undang jalan raya, termasuk prosedur operasi standard (SOP) ketika berkonvoi.

    "Semua penunggang motosikal ini juga perlu menghormati hak dan keselesaan pemandu kenderaan lain," katanya.

    Dalam pada itu, kumpulan konvoi motosikal yang menghalang laluan laluan di Narathiwat itu, iaitu Kelab Chopper Garage Kelantan, dilaporkan sudah menyatakan permohonan maaf secara terbuka kepada Gabenor Narathiwat, atas kecuaian yang dilakukan anggota mereka.

    Presidennya, Diami Yusoff, dipetik menerusi satu surat menyatakan tindakan itu dilakukan secara spontan dan mengakui ia satu kesalahan.

    - Berita Harian

    Subjects:

  • No Comment to " Peserta Konvoi Tiada Hak Sekat Jalan "