• Pesawat Dilencong, Terima Panggilan Ancaman Atas Kapal

    Published: Monday, 30 October 2017
    A- A+


    NEW DELHI - INDIA. Sebuah pesawat penumpang yang membawa 122 orang ke New Delhi pada Isnin telah dilencongkan di pertengahan perjalanan selepas menerima satu panggilan terdapat ancaman keselamatan di atas kapal terbang itu, lapor agensi berita China Xinhua memetik laporan media tempatan.

    Penerbangan Jet Airways dari Mumbai ke Delhi dilencongkan ke Ahmedabad pada awal Isnin selepas satu ancaman keselamatan dilaporkan dalam pesawat. Laporan menyebut seorang pramugari menemui satu nota yang menyatakan bahawa pesawat itu telah dirampas dan tidak seharusnya mendarat di New Delhi, dan beliau kemudian memaklumkan perkara tersebut kepada juruterbang.

    Syarikat penerbangan itu mengesahkan insiden berkenaan, lapor media terbabit.

    "Boeing 737-900 dari Mumbai ke Delhi telah dilencongkan ke Ahmedabad susulan pengisytiharan satu kecemasan seperti yang terdapat dalam prosedur keselamatan, selepas mengesan satu ancaman keselamatan dalam pesawat.

    Pesawat itu telah mendarat tanpa sebarang insiden tidak diingini di Ahmedabad dan diparkir di petak yang berasingan di mana kesemua 115 penumpang dan 7 anggota kru selamat diturunkan dari kapal terbang," lapor media tempatan memetik kenyataan yang dikeluarkan Jet Airways.

    Setakat ini, tiada kejadian yang tidak diingini dilaporkan. Pihak berkuasa telah memulakan satu siasatan ke atas panggilan palsu itu dan sedang menggeledah pesawat terbabit. – Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Pesawat Dilencong, Terima Panggilan Ancaman Atas Kapal "