• Pesan Makanan Tapi Pelanggan ‘Dapat’ Pengunci Stereng Kereta

    Published: Thursday, 12 October 2017
    A- A+

    Malang bagi seorang pelanggan wanita apabila makanan yang dipesannya bukan sahaja lambat dihantar, malah dia turut dipukul menggunakan pengunci stereng kereta oleh penghantar makanan sebuah restoran di Haikou, wilayah Hainan.

    Dalam kejadian pada petang Sabtu lalu, South China Morning Post yang memetik Southern Metropolis News melaporkan mangsa dipukul oleh penghantar makanan terbabit kerana bimbang gadis itu akan membuat aduan mengenai kelewatan suspek menghantar pesanan makanannya.

    Pada hari kejadian, mangsa yang merupakan pelajar sebuah kolej telah memesan makanan menerusi aplikasi pesanan Ele.me kira-kira jam 6 petang dari restoran tersebut yang terletak kira-kira 10 minat dari rumahnya.

    Bagaimanapun, dua jam kemudian pesanan mangsa masih belum dihantar.

    Mangsa yang enggan dikenali berkata, sepanjang menunggu pesanannya dihantar, dia beberapa kali membuat panggilan telefon untuk bertanya mengenai makanannya dan dimarahi oleh penghantar makanan terbabit.

    “Sekitar pukul 8.20 malam, saya pergi ke restoran untuk mengambil sendiri makanan dan penghantar makanan terbabit mengarahkan saya menunggu di depan pintu masuk kedai,” katanya memetik laporan agensi berita tersebut.

    Sebaik sahaja sampai, mangsa bertanyakan nama penghantar makanan terbabit, mengakibatkan lelaki itu marah dan bertanya adakah dia akan membuat aduan kepada majikan mengenai perkhidmatannya yang teruk.

    "Dia bertanya kepada saya jika saya akan melaporkan hal itu kepada syarikat, kemudian dia menyambar pengunci stereng kereta dan mula memukul saya di kepala,” kata mangsa.

    “Saya dipukul dengan teruk dan apa yang saya mampu lakukan adalah berlutut di atas tanah (menahan kesakitan) dan cuba memegang kepala.”

    Serangan itu berjaya dihentikan oleh pemilik restoran tersebut.

    Mangsa menghubungi rakannya lalu membawanya ke hospital. Dia terpaksa menanggung kos rawatan sebanyak 2,000 yuan (RM1,280) bagi rawatan kecederaannya.

    Susulan serangan tersebut, mangsa membuat laporan polis dan suspek kini diburu bagi membantu siasatan.

    Sementara, wakil Ele.me berkata mereka tidak dapat menghubungi suspek yang sudah dipecat namun memberi jaminan akan membantu siasatan polis. - MalaysianDigest

    Subjects:

  • No Comment to " Pesan Makanan Tapi Pelanggan ‘Dapat’ Pengunci Stereng Kereta "