• Peruntukan Terbesar MARA Bukti Komitmen Kerajaan

    Published: Monday, 30 October 2017
    A- A+

    PUTRAJAYA: Peruntukan RM2.5 bilion, iaitu yang tertinggi pernah diberikan untuk biasiswa pengajian tinggi dan latihan di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam Bajet 2018 membuktikan komitmen berterusan kerajaan untuk membantu golongan Bumiputera di negara ini dalam sektor pendidikan.

    Pengerusi MARA, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, peruntukan itu adalah yang terbesar diterima MARA dalam sejarah penubuhannya.

    Beliau berkata, seluruh warga MARA menyambut baik pengumuman itu dan terharu dengan keprihatinan kerajaan untuk terus memartabatkan dan memacu pendidikan golongan Bumiputera di negara ini.

    "MARA berharap terus dapat memberi sentuhan kepada golongan Bumiputera dan akan mempertingkatkan rangkaian institusi pendidikan MARA bagi mewujudkan persekitaran menarik dan terbaik untuk pelajar.

    "Buat masa ini, jenama institusi pendidikan MARA seperti Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) semakin dikenali dalam pasaran," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Ke-34 Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

    Katanya, pihaknya juga akan memberi perkhidmatan terbaik dalam membantu golongan Bumiputera di negara ini terutama yang memerlukan bantuan.

    Mengulas mengenai peruntukan penyelenggaraan MRSM sebanyak RM50 juta, Awang Adek berkata, bantuan itu akan digunakan sepenuhnya bagi membaik pulih MRSM yang uzur di seluruh negara.

    Dalam perkembangan sama, katanya, beliau juga mahu lebih ramai pihak swasta dan korporat tampil menjalinkan hubungan strategik dengan MARA bagi pembinaan MRSM yang baharu sebagaimana dilakukan Petronas bagi pembinaan MRSM di Ranau, Sabah dan Bintulu, Sarawak yang dijangka memberikan manfaat pembangunan pendidikan di negeri berkenaan. - BHOnline


    Foto Ahmad Irham Mohd Noor

    Subjects:

  • No Comment to " Peruntukan Terbesar MARA Bukti Komitmen Kerajaan "