• Perselisihan penalti Cavani, Neymar selesai

    Published: Wednesday, 4 October 2017
    A- A+


    CARACAS: Penyerang Uruguay, Edinson Cavani enggan memperbesarkan perselisihan dengan rakan sepasukan di Paris Saint Germain (PSG), Neymar berhubung isu mengambil sepakan penalti untuk kelab itu.

    Cavani dan bintang Brazil, Neymar yang juga pemain termahal dunia dilaporkan berselisih faham bagi mengambil tugasan sepakan penalti untuk PSG dalam beberapa perlawanan baru-baru ini.

    Perselisihan antara dua pemain itu bermula sejak beberapa minggu lalu apabila Cavani yang juga pemain yang memikul tugas mengambil sepakan penalti buat PSG sebelum ini enggan membenarkan Neymar mengambilnya ketika menentang Lyon.

    Begitupun, Cavani gagal menyempurnakan sepakan penalti berkenaan.

    Terbaru, timbul spekulasi mengatakan Cavani ditawarkan jutaan euro untuk melepaskan tugasan mengambil sepakan penalti kepada Neymar, yang menyempurnakan penalti ketika menentang Bordeaux.

    "Perkara seperti ini memang berlaku dalam bola sepak dan kadang kala ia diperbesar-besarkan," kata Cavani kepada pemberita di Caracas menjelang kempen kelayakan Piala Dunia menentang Venezuela, awal pagi Jumaat ini.

    "Semua masalah sudah diselesaikan di dalam bilik persalinan. Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaian, ia kembali tenang seperti biasa."

    Walaupun tidak lagi memikul tugas mengambil sepakan penalti, Cavani masih menjadi penjaring terbanyak dengan lapan gol berbanding Neymar enam gol. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Perselisihan penalti Cavani, Neymar selesai "