• Permohonan Najib Batal Saman Ezam Didengar Nov Ini

    Published: Monday, 9 October 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 22 November ini untuk mendengar permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak dan 13 bekas anggota Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta dua pihak lagi bagi membatalkan saman difailkan Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor.

    Saman itu difailkan Mohamad Ezam, selaku Presiden Parti Bebas Rasuah, berhubung kerugian yang dialami 1MDB berjumlah US$3.657 bilion.

    Peguam Yazid Mustaqim Roslan, yang mewakili Perdana Menteri, ketika ditemui pemberita berkata, pada tarikh sama (22 November) mahkamah juga menetapkan untuk mendengar permohonan anak guamnya bagi menangguhkan prosiding sementara menunggu permohonan membatalkan saman diputuskan oleh mahkamah.

    Beliau berkata Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya ketika pengurusan kes berkenaan hari ini.

    Yazid berkata mahkamah turut mengarahkan kesemua pihak memfailkan hujahan masing-masing sebelum tarikh pendengaran tersebut.

    Najib memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pada 12 Julai lepas, atas alasan Mohamad Ezam tidak mempunyai ‘locus standi’ (hak di sisi undang-undang) untuk mengemukakan tuntutan tersebut.

    Selain Najib selaku defendan pertama, turut memfailkan permohonan bagi membatalkan saman ialah 13 bekas anggota Lembaga Pengarah 1MDB iaitu Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah; Datuk Kamal Mohd Ali; Datuk Norazman Ayob; Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin; Tan Sri Ismee Ismail; Tan Sri Ong Gim Huat dan Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi selaku defendan kedua hingga kelapan.

    Selain itu, Ashvin Jethanand Valiram; K. Arul Kanda; Mohd Hazem Abd Rahman @Mohamed; Datuk Mohd Bakke Salleh; Tan Sri Azlan Mohd Zainol; Datuk Tengku Rahimah Puteri Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah sebagai defendan kesembilan hingga ke-14.

    Syarikat 1MDB dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan ke-15 dan ke-16 turut memfailkan permohonan bagi membatalkan saman difailkan Mohamad Ezam, pada 14 April lepas.

    Dalam pernyataan tuntutan, Mohamad Ezam, selaku plaintif, mendakwa syarikat 1MDB telah meminjam sejumlah US$6.5 bilion dengan bantuan Goldman Sach International Ltd yang sewajarnya dimasukkan ke akaun syarikat berkenaan.

    Namun, beliau mendakwa kesemua defendan bertindak secara melulu dengan menyebabkan sejumlah US$3.657 bilion dibayar kepada pihak yang tidak berhak hingga menyebabkan kerugian kepada syarikat 1MDB.

    Oleh itu, plaintif menuntut kesemua defendan menanggung kerugian syarikat 1MDB dengan bayaran sejumlah US$3.657 bilion kepada syarikat berkenaan, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.- Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Permohonan Najib Batal Saman Ezam Didengar Nov Ini "