• Perbicaraan kes bunuh Jong-nam bermula

    Published: Monday, 2 October 2017
    A- A+

    SHAH ALAM: Dua wanita warga asing yang dituduh membunuh abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam, tiba di Mahkamah Tinggi Shah Alam, di sini, kira-kira jam 8 pagi tadi.

    Tertuduh, warga Indonesia, Siti Aisyah, 25, dan warga Vietnam, Doan Thi Huong, 28, yang tiba dengan memakai baju-T berwarna hitam serta berseluar gelap termasuk vest hitam polis, akan dibicarakan bermula hari ini.

    Tinjauan BH mendapati, kawalan keselamatan di Kompleks Mahkamah Shah Alam diperketatkan dengan hanya kenderaan orang awam yang mempunyai pelekat khas mahkamah dibenarkan masuk.

    Pada masa sama, kira-kira 100 petugas media termasuk media asing mula memenuhi kawasan luar Kompleks Mahkamah Shah Alam seawal jam 5 pagi. Bagaimanapun, hanya 20 wakil media tempatan dan antarabangsa diberi kebenaran memasuki kamar mahkamah untuk membuat liputan prosiding.

    Pada 28 Julai lalu, Hakim Datuk Azmi Ariffin menetapkan perbicaraan akan berlangsung selama 23 hari bermula hari ini.

    Dalam prosiding itu, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh dan ia akan direkodkan hari ini.

    Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad memaklumkan pihaknya akan memanggil seramai 30 hingga 40 saksi termasuk 10 saksi pakar bagi memberi keterangan sepanjang perbicaraan itu.

    Pada 1 Mac lalu, kedua-dua tertuduh bersama-sama empat individu lain yang masih bebas didakwa membunuh Jong-nam di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Sepang jam 9 pagi pada 13 Februari lalu.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.-BH

    Subjects:

  • No Comment to " Perbicaraan kes bunuh Jong-nam bermula "