• Peranti pengesanan dalam bas

    Published: Thursday, 26 October 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan bercadang melaksanakan pemasangan peranti pengesanan dalam semua kenderaan komersial terutama bas bagi mengelak nahas jalan raya.

    Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata pemasangan peranti diagnosis dalaman (OBD) membolehkan pergerakan pemandu dipantau dan dirakam untuk penilaian.

    Menerusi pemasangan peranti itu, katanya, gerak-geri pemandu bas dapat dinilai seterusnya direkodkan dalam skor pemandu.

    "Pemasangan peranti itu membolehkan kita boleh menjejak, memantau dan menilai rekod pemanduan terdahulu pemandu terbabit.

    "Peranti itu dilengkapi ciri-ciri teknologi tinggi dan berkualiti serta menyaksikan penilaian manakala pemantauan ke atas pemandu dapat dibuat dengan lebih mudah.

    "Sebelum ini, sistem OBD cuma dipasang untuk memantau penumpang tetapi kali ini kita akan pasang untuk pantau pemandu bas," katanya.

    Beliau menjawab soalan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (BN-Mersing) pada sesi khas pertanyaan menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

    Abdul Latiff bertanya tindakan dan usaha Kementerian Pengangkutan terhadap pengusaha bas kilang yang menyediakan bas tidak selamat bagi mengelak kemalangan jalan raya.

    Dalam pada itu, Tiong Lai berkata, Kementerian Pengangkutan turut mengkaji beberapa kaedah bagaimana untuk mengawal tabiat pemandu bas supaya tidak memandu melebihi had ditetapkan.

    Beliau berkata, kerajaan turut menimbang kemungkinan melaksanakan Sistem Pengesanan Kedudukan Global (GPS) untuk mengawal pemandu bas.

    Selain itu, katanya, bas perlu dipasang dengan alat khas pengehad kelajuan supaya bas tidak dipandu melebihi had ditetapkan.

    Semalam, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menggantung permit kenderaan pengendali dua bas pekerja yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 147 berhampiran Plaza Tol Juru, Butterworth sehingga mengorbankan lapan penumpang.

    Kemalangan mengorbankan nyawa lapan wanita manakala 35 lagi dilaporkan cedera.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Peranti pengesanan dalam bas "