• Penyangak Jumpa Penyamun

    Published: Thursday, 26 October 2017
    A- A+

    Penyangak jumpa penyamun. Itu yang boleh disimpulkan mengenai kejadian ugut dan samun di Jalan Citra 3, Kajang utama, Kajang, 16 Oktober lalu.

    Pada mulanya, wanita yang juga pekerja kedai aksesori telefon bimbit di Jalan Reko Sentral, Kajang disamun dua lelaki yang bersenjatakan pisau pemotong daging di premis berkenaan pada 7 September lalu.

    Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, dalam kejadian itu, dua suspek berusia 20-an melarikan wang tunai berjumlah RM632 dan telefon bimbit.

    "Wanita itu tularkan gambar suspek yang diambil menerusi CCTV (rakaman kamera litar tertutup) sebelum abang angkatnya iaitu dua lelaki tempatan 'memburu' suspek.

    "Abang angkat mangsa menyamar sebagai anggota polis sebelum memeras ugut dan menyamun wang tunai berjumlah RM500 daripada dua suspek berkenaan pada 16 Oktober lalu," katanya.

    Menurutnya, dua suspek yang menyamar polis itu ditahan pada hari sama di sekitar kawasan Kajang.

    “Turut dirampas daripada mereka, gari dan kunci gari. Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan dan direman sehingga 27 Oktober ini," katanya.

    Ahmad Dzaffir berkata, seorang daripada suspek samun kedai aksesori itu sudah ditahan pada 16 Oktober dan direman sehingga 26 Oktober.

    "Seorang lagi suspek samun kedai aksesori itu masih bebas dan polis giat memburunya.

    "Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Penyangak Jumpa Penyamun "