• Penunggang Motosikal Maut Dirempuh Kereta

    Published: Monday, 30 October 2017
    A- A+

    SITIAWAN: Seorang lelaki berusia 43 maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Kilometer 4 Jalan Kampung Koh - Ayer Tawar dekat sini, malam tadi.

    Dalam kejadian kira-kira jam 7.50 malam itu, Wong Kim Huat meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di beberapa anggota badan.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan Chong Bhoo Khim, berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 26 tahun datang dari arah Ayer Tawar menghala ke Simpang Dua.

    "Apabila tiba di tempat kejadian, tiba-tiba datang motosikal yang ditunggang mangsa yang berada di bahu jalan sebelah kiri mengubah laluan ke kanan jalan.

    "Oleh kerana jarak yang terlalu dekat, pemandu kereta berkenaan tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal mangsa pada bahagian hadapan di sebelah kanan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Bhoo Kim berkata, akibat kemalangan itu mangsa yang berasal dari Pekan Gurney di sini mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    "Bagaimanapun, pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat," katanya.

    Bhoo Kim berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Penunggang Motosikal Maut Dirempuh Kereta "