• Penjawat Awam Perlu Patuh Dasar Maklumat Siber : KSN

    Published: Tuesday, 3 October 2017
    A- A+

    PUTRAJAYA: Penjawat awam perlu patuh kepada dasar dan prosedur pengendalian maklumat digital kerajaan bagi mengelak kebocoran maklumat.

    Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, berkata ketirisan maklumat digital kerajaan itu menyebabkan ia dimanipulasi oleh kumpulan tertentu bagi memburukkan kerajaan.

    Katanya, maklumat kerajaan yang bocor sebelum banyak digunakan untuk kepentingan peribadi apabila ia diputar belit pihak terbabit menerusi penyebaran berita palsu.

    "Pelaksanaan program berbentuk kesedaran keselamatan siber kepada penjawat awam adalah perkara penting untuk dilaksanakan secara segera.

    "Penjawat awam termasuk kumpulan sokongan, pengurusan, profesional dan pengurusan atasan kementerian atau jabatan perlu dididik mengenai kaedah serta tata cara pengendalian maklumat digital yang betul bagi mengelakkan kemungkinan perkara negatif berlaku sekiranya ada kecuaian ketika pengendalian maklumat terbabit," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Kesedaran Keselamatan Siber Sektor Awam 2017, di sini hari ini.

    Sempena majlis berkenaan, Ali turut melancarkan Buku Garis Panduan 10 Langkah Mudah Kesedaran Keselamatan Siber, mengandungi beberapa langkah asas yang perlu dilaksanakan oleh semua penjawat awam bagi memupuk amalan terbaik dalam keselamatan siber serta melindungi maklumat digital kerajaan, organisasi dan negara.

    Antara langkah asas yang terdapat dalam buku berkenaan termasuk aspek membabitkan pengendalian kata laluan, kemas kini perisian keselamatan, penyimpanan dan perlindungan maklumat.

    Buku berkenaan turut menyentuh mengenai etika penggunaan internet dan media sosial, mengelak terpedaya, waspada terhadap jenayah siber, pautan, lampiran yang mencurigakan dan pelaporan insiden.

    Langkah asas lain yang tidak kurang penting ialah kepekaan mengenai ancaman siber terkini dan pematuhan terhadap dasar, arahan, peraturan, garis panduan serta pekeliling berkaitan keselamatan siber.

    Subjects:

  • No Comment to " Penjawat Awam Perlu Patuh Dasar Maklumat Siber : KSN "