• Penjaga Ucap Selamat Tinggal Kepada Nuan Nuan

    Published: Friday, 6 October 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR – “Selamat tinggal Nuan Nuan, jaga diri baik-baik, jangan nakal-nakal di tempat baharu, dengar cakap ‘zoo keeper’ di sana.”

    Itu antara pesanan penjaga-penjaga panda gergasi di Pusat Konservasi Panda Gergasi (GPCC) Zoo Negara kepada Nuan Nuan, anak panda berusia 26 bulan yang bakal dihantar pulang ke China pada 14 November ini.

    Menyaksikan sendiri tumbesaran anak panda betina itu sejak ia dilahirkan pada 18 Ogos 2015 sehingga mencapai berat lebih 80 kilogram sekarang, Ahmad Nizam Zainuddin, 34, antara tujuh penjaga panda gergasi di GPCC, menyifatkan perpisahan tersebut satu perkara yang amat berat buat dirinya.

    “Daripada saiznya sekecil tapak tangan ketika dilahirkan sehinggalah ia berusia 26 bulan hari ini, Nuan Nuan umpama anak saya sendiri kerana hampir setiap hari kami meluangkan masa bersamanya selain menjaga ibu bapanya di GPCC.

    “Sifatnya yang lincah, aktif dan manja itu begitu sukar dilupakan. Walaupun agak berat hati untuk berpisah dengan Nuan Nuan sifatnya yang comel dan berdisiplin itu akan dikenang sampai bila-bila,” katanya kepada Bernama.

    Berkongsi pengalamannya menjaga Nuan Nuan, Ahmad Nizam berkata antara makanan kegemaran anak panda gergasi itu ialah kek panda seberat satu kilogram yang diperbuat daripada buah-buahan dan telur.

    “Jika mahu Nuan Nuan bergerak ke mana-mana ataupun selepas membuat pemeriksaan kesihatan, kami akan memberi makanan kegemarannya sebagai ‘habuan’ kerana berdisiplin dan dengar cakap kami.

    “Istimewanya Nuan Nuan boleh memahami arahan dalam bahasa Melayu, Mandarin dan Inggeris kerana kami sentiasa bertutur dalam bahasa Melayu dan Inggeris manakala seorang lagi petugas GPCC dari China berbahasa Mandarin dengannya,” katanya.

    Seorang lagi petugas GPCC, Syaza Syazwan Rusliberkata pengalaman menjaga anak panda itu begitu istimewa dan unik buat dirinya kerana menguji daya kesabaran dan dapat melatih sifat penyayang.

    “Apabila diberi tugas menjaga pasangan panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang serta anaknya Nuan Nuan, saya begitu teruja dan pada masa yang sama agak risau kerana penjagaan panda tidak sama seperti menjaga haiwan lain.

    “Penjagaan anak panda umpama menguruskan bayi manusia, ia memerlukan kesabaran yang tinggi serta pemantauan setiap masa sebab ia ada mood yang tidak menentu dan akan bertindak agresif jika berasa terancam.

    “Namun, kini Nuan Nuan akan pulang ke China… walaupun sedih terpaksa berpisah dengannya kami percaya Nuan Nuan akan lebih gembira di tempat baharunya,” katanya.

    ‘Ibu angkat’ kepada pasangan panda gergasi itu, Chin Chet Mooi turut melahirkan rasa sedihnya apabila ‘cucunya’ bakal dihantar pulang ke China.

    Mengimbau kembali ketika Liang Liang melahirkan anaknya, Chin berkata beliau dan petugas-petugas zoo pada mulanya berasa panik dengan kelahiran secara mengejut anak panda berkenaan, namun dengan peralatan yang mencukupi mereka dapat mengawal keadaan.

    Katanya beliau begitu terharu apabila melihat Liang Liang menunjukkan sifat keibuannya terhadap Nuan Nuan sejurus selepas kelahirannya.

    “Liang Liang begitu melindungi anaknya sehingga tidak mahu kami menyentuh Nuan Nuan yang berada di pangkuannya ketika itu.

    “Masa begitu cepat berlalu dan saya seolah-olah tidak percaya panda seberat 82 kilogram sekarang itu adalah anak panda berwarna merah jambu yang berada di pangkuan Liang Liang lebih dua tahun lalu dan bakal pulang ke tempat asalnya tidak lama lagi,” katanya.

    Nuan Nuan akan dihantar pulang ke Dujiangyan Panda Base di Sichuan, China, tempat asal ibu bapanya, pada 14 November ini.

    Penyerahan pulang anak panda gergasi itu adalah bagi mematuhi Perjanjian Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Panda Gergasi antara kerajaan Malaysia dengan China yang memperuntukkan anak panda yang dilahirkan di Malaysia perlu diserah balik kepada China apabila berusia dua tahun. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Penjaga Ucap Selamat Tinggal Kepada Nuan Nuan "