• Peniaga Nasi Kandar Ditemui Mati Lemas

    Published: Wednesday, 25 October 2017
    A- A+

    ALOR SETAR: Mayat peniaga nasi kandar Pasar Besar Alor Setar, ditemui terapung di Sungai Kedah, belakang kilang Sime Tyres, Mergong, di sini, pagi tadi.

    Mangsa dikenali sebagai Abdus Samad Abdul Ghoffor, 43, yang lengkap berpakaian ditemui orang awam, jam 9.30 pagi.

    Anaknya, Muhammad Salman, 21, berkata bapanya tidak pulang ke rumah di Taman Pelangi, Jalan Kuala Kedah selepas keluar memancing sejak Isnin lalu menyebabkan keluarganya membuat laporan polis semalam mengenai kehilangannya.

    "Bapa saya gemar memancing apabila tidak berniaga pada Ahad dan Isnin.

    "Kami reda sebaik dimaklumkan jasad ayah ditemui pagi tadi dan terus bergegas ke hospital untuk mengesahkannya," katanya ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.

    Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Pegawai Bomba Kanan II Zulkiflee Md Isa berkata, pihaknya menerima panggilan jam 9.39 pagi dan sepasukan anggotanya tiba di lokasi pada jam 9.46 pagi.

    "Setibanya di lokasi didapati mayat mangsa dalam keadaan terapung pada jarak kira-kira 100 meter dari darat dan anggota kami mengambil mangsa di kawasan yang berselut.

    "Operasi tamat pada jam 10.26 pagi dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Peniaga Nasi Kandar Ditemui Mati Lemas "