• Pengundi Hantu Mainan Jahat Pembangkang - Zambry

    Published: Saturday, 14 October 2017
    A- A+

    BERUAS: Pembangkang disifatkan berada dalam keadaan terdesak apabila sanggup memainkan politik kotor dengan mendakwa wujud pengundi hantu di Perak, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

    "Ini politik jahat, kita pun nak tahu juga 'hantu' mana yang ada dalam kotak dikatakan ada pengundi hantu itu.

    "Kita nak tahu itu hantu pakatan (pembangkang) atau hantu diwujudkan Nga (Kor Ming) (Pengerusi DAP Perak) untuk menjadi pengundi hantu," katanya.

    Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Himpunan Usahawan Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Cawangan Manjung dan melancarkan Kelab Usahawanita Tunas Inspirasi Beruas di Dewan Serbaguna, Kompleks Kediaman Polis Beruas di sini hari ini.

    Zambry yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, mengulas laporan sebuah portal berita kelmarin memetik kenyataan Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, pada sidang media bersama Kor Ming memberi tempoh 24 jam kepada BN memohon maaf berhubung isu pengundi hantu di negeri itu.

    Mereka turut membawa kotak didakwa berisi senarai nama pengundi hantu pada sidang media itu.

    Sebelum ini, laporan sama turut menyebut status akaun Twitter Kor Ming yang memuat naik satu gambar bersama kepemimpinan pakatan pembangkang di Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri dengan meletakkan tulisan 'Terbongkar, BN letak 56,323 'pengundi hantu di Perak'.

    Zambry berkata, tindakan pakatan pembangkang yang menyuruh BN meminta maaf seolah-olah menuduh parti itu yang membawa pengundi hantu yang disifatkan sebagai permainan politik terlalu kotor dan jahat.

    Justeru, beliau mencabar pakatan pembangkang supaya segera membuat laporan polis kerana polis serta SPR sudah tentu mahu mengetahui siapa pengundi hantu yang dikatakan itu.

    "Kita perlu memberi maklum balas segera isu ini kerana jika tidak dijawab segera, seolah-olah apa yang direka pembangkang itu betul dan rakyat mempercayainya," katanya.

    Pada majlis itu, Zambry turut mengumumkan peruntukan RM100,000 kepada Kelab Usahawanita Tunas Inspirasi Beruas bagi menjalankan aktiviti kelab berkenaan. - BHOnlie

    Subjects:

  • No Comment to " Pengundi Hantu Mainan Jahat Pembangkang - Zambry "