• Penguat Kuasa Gagalkan Cubaan Seludup 50 Tong Gas Memasak

    Published: Thursday, 19 October 2017
    A- A+

    TAWAU: Tiga lelaki ditahan berasingan selepas cuba menyeludup tong gas memasak ke Indonesia semalam dalam operasi bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau dan pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di Laut Tanjung Batu.

    Pegawai Pemerintah PPM Wilayah 4 Tawau, DSP Mohd Nazri Ibrahim berkata operasi bersama itu dilaksanakan selama tiga hari dan berakhir semalam.

    Mereka yang ditahan berusia dalam lingkungan 20 hingga 50 tahun dan ditahan antara pukul 9 pagi dan 7 malam.

    "Tangkapan suspek pertama turut membawa rampasan enam tong gas manakala tangkapan kedua dan ketiga masing-masing melibatkan rampasan 17 dan 27 tong gas memasak.

    "Nilai keseluruhan 50 tong gas yang dirampas bersama tiga bot itu adalah RM103,570," katanya dalam kenyataan di sin, hari ini.

    Nazri berkata kesemua suspek akan didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Bekalan Kawalan 1961 dan di baca bersama Perkara 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 selepas memiliki dan cuba menyeludup barang kawalan ke negara jiran.

    Dalam pada itu, katanya PPM Tawau akan mempergiat usaha memastikan penyeludupan barang kawalan dapat dibanteras dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penyeludupan boleh disalurkan ke pejabat PPM Tawau.

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Penguat Kuasa Gagalkan Cubaan Seludup 50 Tong Gas Memasak "