• Pengikrar Derma Organ Diminta Beritahu Keluarga

    Published: Wednesday, 4 October 2017
    A- A+


    PUTRAJAYA – Golongan yang telah berikrar untuk menderma organ dinasihatkan untuk memaklumkan tujuan mereka kepada keluarga masing-masing bagi memudahkan proses pemindahan organ setelah mereka meninggal kelak, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahya.

    Beliau ​​​​berkata walaupun mereka telah berikrar untuk menderma organ namun pihak hospital masih memerlukan persetujuan keluarga terdekat bagi proses tersebut.

    “Buat masa ini kadar pendermaan organ selepas kematian hanyalah sekitar 1.0 penderma bagi setiap juta penduduk Malaysia berbanding dengan negara lain seperti Korea Selatan 9.96 penderma bagi setiap juta penduduk (pmp) , United Kingdom (21 pmp) dan Sepanyol (39.7 pmp),” katanya pada sidang media bersempena majlis penutup Forum Derma Organ di sini hari ini.

    Sehingga 31 Ogos, seramai 394,809 orang telah mendaftar sebagai pengikrar di Malaysia dengan pecahan kaum penderma adalah 40.34 peratus daripada kaum Cina, Melayu (30.61 peratus), India (22.79 peratus) dan lain-lain sebanyak 6.27 peratus, katanya.

    Namun, katanya, bilangan penderma sebenar selepas kematian adalah jauh lebih kecil iaitu sejak program perdermaan dimulakan di Malaysia pada 1975 sehingga hari ini hanyalah 620.

    “Jurang di antara bilangan penderma organ sebenar ini adalah amat ketara berbanding bilangan pesakit yang mengalami kegagalan organ tahap akhir dan perlu menjalani pemindahan organ gantian,” katanya.

    Sehingga 31 Ogos tahun ini, terdapat lebih 21,000 pesakit sedang berada dalam senarai menunggu organ kebangsaan dengan majoritinya merupakan pesakit kegagalan buah pinggang selain hati, jantung dan paru-paru, katanya.

    Sejak 1975 sehingga hari ini, sebanyak 2,047 pembedahan transplan organ dilakukan di negara ini melibatkan Hospital Kuala Lumpur, Hospital Selayang dan Institut Jantung Negara, katanya.

    “Pemindahan organ amat diperlukan bagi pesakit yang mengalami kegagalan organ seperti buah pinggang yang mana kos haemodialisis bagi setiap pesakit setahun adalah sekitar RM40,000 berbanding kos pembedahan pemindahan buah pinggang RM30,000 dan ia umpama memberi sinar kehidupan baru kepada mereka,” katanya. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Pengikrar Derma Organ Diminta Beritahu Keluarga "