• Pengaruh Kosmetik Halal Semakin Berkembang Di Barat

    Published: Friday, 6 October 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR – Pengaruh kosmetik halal termasuk dari Asia kini semakin berkembang di Barat berdasarkan aliran permintaan semasa.

    Pengaran Urusan UBM Asia (Perniagaan ASEAN), M.Gandhi berkata ini turut berkait rapat dengan kelebihan produk-produk Asia yang mengandungi bahan semula jadi serta bercirikan organik khususnya bagi tujuan anti-penuaan.

    UBM Asia merupakan antara pengerak Ekspo Kecantikan Antarabangsa Malaysia (Beautyexpo17) yang masuk edisi ke-17 penganjurannya di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini dan bermula hari ini sehingga 9 Okt, 2017.

    “Kosmetik halal semakin mendapat tumpuan utama dan potensi bagi produknya pula terus berkembang pesat di pasaran,” katanya pada majlis pelancaran ekspo itu hari ini.

    Gandhi berkata permintaan terhadap kosmetik halal juga membabitkan pelbagai segmen penduduk, tanpa mengira agama dan bangsa.

    Produk itu menjadi pilihan dari segi manfaat asas kesihatan, kaedah pengeluarannya yang tidak menzalimi haiwan serta kebersihan bahan-bahan asasnya.

    Malah, berteraskan kepentingan serta apa disifatkan beliau sebagai peralihan indusgtri, Gandhi berkata pameran Beautyexpo17 kali ini mewujudkan enam zon khas iaitu salun kecantikan, salun dandanan rambut, mekap dan pendidikan, salun kuku, kesihatan dan kesejahteraan serta kosmetik halal dan bumiputera.

    “Ia terus mendapat tempat dan menjadi platform bagi pembangunan profesional terbabit. Pada masa sama, ia turut menyediakan peluang jaringan untuk profesional kecantikan di negara ini,” katanya.
    Acara Beautyexpo17 selama empat hari itu dijangka menarik 20,000 pengunjung dan disertai 200 syarikat daripada 26 negara termasuk Korea Selatan, Jepun, China dan Singapura. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Pengaruh Kosmetik Halal Semakin Berkembang Di Barat "